Sahabat adalah perisai diri

Tuesday, October 21, 2008

Disiplin dan kasih sayang dalam mendidik anak

KASIH sayang mempunyai kesan amat kuat dalam pendidikan, khususnya bagi pembinaan keluarga. Pendidikan menggunakan kekerasan hanya mengundang padah lebih dahsyat.

Pendekatan yang sama disarankan Islam dalam mendidik jiwa seseorang. Dalam konteks pendidikan kanak-kanak, pendidikan jiwa perlu diutamakan. Jiwa yang mengenal Allah, beriman dan menyembah-Nya serta bebas daripada syirik adalah matlamat pendidikan rohaniah.


Akidah kukuh lagi mantap mesti melahirkan insan beramal salih dan berakhlak mulia. Pendidikan berasaskan kasih sayang dan bertanggungjawab bererti kasih sayang rasional dan masih disertakan dengan ketegasan.

Kasih sayang rasional melahirkan usaha mendidik berterusan dan tanpa putus asa daripada pendidik. Kasih sayang yang bertanggungjawab merujuk kepada niat dan matlamat pendidikan untuk melahirkan insan beriman lagi bertakwa dan beramal salih serta berakhlak mulia.


Oleh itu, ia tidak bermakna kasih sayang membuta tuli memberi fokus kepada aspek material semata-mata mahupun aspek emosi saja. Tindakan ini membabitkan aspek pendidikan spiritual yang berlandaskan syariat. Seorang kanak-kanak perlu dididik bukan saja aspek fizikal, namun spiritualnya lebih perlu diambil kira.

Namun, keseimbangan kedua-dua aspek ini penting demi memastikan perkembangan individu sejahtera. Pendidikan rohani termasuk menekankan kasih sayang antara ibu bapa dan anak. Kasih sayang adalah senjata utama dalam memastikan keberkesanan didikan kerana kepatuhan mudah terhasil daripada rasa cinta dan sayang. Kecintaan kepada Allah menjadikan kita hamba yang patuh dan taat.

sebutir kata:
Ibu bapa masih berperanan sebagai pendidik utama sebelum gurunya. Kasih sayang yang terjalin adalah faktor paling berkesan bagi memastikan segala ajaran dipatuhi. Perasaan kasih sayang juga akan lebih kukuh jika pelaksanaan tugas mendidik itu disertai dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas serta sedar bahawa ia adalah amanah dari Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails