Sahabat adalah perisai diri

Monday, June 22, 2009

Pisau tersarung dalam senyuman


Dalam penggunaan taktik "Pisau Tersarung dalam Senyuman", kunci utamanya ialah kaedah untuk mendapatkan kepercayaan pihak musuh supaya mereka tidak lagi berwaspada terhadap tindak-tanduk kita. Kemudian, barulah kita boleh bertindak terhadap pihak musuh yang tindak mempunyai persediaan.

Dalam sejarah China, kes-kes yang berjaya menggunakan taktik itu agak banyak. Contohnya:

Pada abad ketiga Masihi, negeri Wei, negeri Shu dan negeri Wu merupakan tiga kekuatan yang terbesar di China. Ketiga-tiga negeri itu saling bersaing antara satu sama lain.. Antaranya, keupayaan negeri Wei adalah yang paling kuat dan sentiasa bercita-cita untuk menyatukan China. Ini menyebabkan negeri Shu dan negeri Wu terpaksa bersatu untuk bersama-sama mempertahankan serangan daripada negeri Wei. Untuk memperkukuh hubungan ikatan, raja negeri Shu, Liu Bei telah memperisteri adik perempuan kepada raja negeri Wu yang bernama Sun Quan.

Namun, Liu Bei dan Sun Quan pula mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu untuk menubuhkan pemerintahan yang menyatukan China, maka hal ini menyebabkan konflik ketenteraan sering berlaku antara negeri Shu dan negeri Wu.

Jingzhou merupakan sebuah kota yang terletak di tengah-tengah di antara ketiga-tiga negeri tersebut. Oleh sebab kota itu mempunyai kedudukan yang sangat strategik, maka Jingzhou telah menjadi sasaran bagi ketiga-tiga negeri tersebut. Sehubungan dengan itu, konflik-konflik antara negeri Wei, negeri Shu dan negeri Wu sering berlaku di kawasan sekitar Jingzhou. Walau bagaimanapun, kota Jingzhou sentiasa dikawal oleh raja negeri Shu, Liu Bei. Untuk memperkukuh pertahanannya di Jingzhou, Liu Bei telah mengerahkan panglima yang paling dipercayainya iaitu Guan Yu untuk menjaga benteng pertahanan di sana. Oleh sebab takut akan kehebatan panglima Guan Yu, negeri Wei dan negeri Wu tidak berani menyerang kota Jingzhou dengan sewenang-wenangnya.

Tidak lama selepas dihantar ke Jingzhou, panglima Guan Yu telah mengetuai tentera untuk melancarkan serangan terhadap negeri Wei. Dengan menyedari akan kemungkinannya serangan daripada negeri Wu ketika beliau berada di luar kawasan, Guan Yu telah meninggalkan tentera elitnya di Jingzhou.

Selepas Guan Yu meninggalkan Jingzhou, raja negeri Wu, Sun Quan yang sentiasa ingin mendapatkan kota itu merasakan sudah tibalah masanya untuk mengambil tindakan.

Panglima Guan Yu

Pada ketika itu, panglima tentera negeri Wu, Lu Xun sentiasa berpura-pura menghormati dan taat setia kepada Guan Yu. Lu Xun pernah menulis surat kepada Guan Yu. Dalam surat itu, Lu Xun dengan sikap merendah diri telah menyanjung tinggi pencapaian Guan Yu dan menganggap dirinya sebagai orang muda yang memerlukan panduan Guan Yu.

Guan Yu mempunyai kedudukan yang tinggi di negeri Shu. Beliau juga ahli ketenteraan yang sangat terkenal pada zaman itu. Ini telah menjadikannya seorang yang angkuh dan sombong. Selepas membaca surat Lu Xun, Guan Yu menganggap bahawa tidak ada perlunya untuk berwaspada terhadap perbuatan Lu Xun. Jadi, Guan Yu telah mengerahkan sejumlah besar tenteranya daripada tentera yang ditempatkan di Jingzhou untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap negeri Wei tanpa menimbangkan keupayaan pertahanan kota itu.

Justeru itu, Lu Xun telah menghubungi negeri Wei secara rahsia untuk merancang serangan terhadap tentera Guan Yu secara serentak.

Apabila tentera Guan Yu sedang menyerang negeri Wei, tentera elit negeri Wu telah melancarkan serangan mengejut terhadap Jingzhou dan berjaya menawan kota itu. Selepas diberitahu negeri Wu telah mencapai kemenangan, negeri Wei dengan sengaja telah menyebarkan khabar itu sehingga ke dalam kem Guan Yu dan menyebabkan tenteranya mengalami kekalahan teruk kerana tenteranya sudah hilang semangat. Kegagalan Guan Yu itu merupakan contoh klasik kejayaan penggunaan taktik "Pisau Tersarung dalam Senyuman" dalam sejarah China.

Dalam aktiviti manusia zaman ini, taktik "Pisau Tersarung dalam Senyuman" juga selalu diguna pakai dalam bidang perniagaan. Misalnya, dalam rundingan perniagaan, perunding sesepihak akan berpura-pura beramah-tamah dan bermurah hati terhadap pesaingnya, kadangkala mereka juga akan bertolak ansur bagi perkara tertentu. Sebenarnya, perbuatan itu adalah untuk menyenangkan hati pihak lawannya supaya keuntungan yang lebih besar dapat diperoleh.

Dalam Internet, penyebar virus komputer juga bijak menggunakan taktik "Pisau Tersarung dalam Senyuman". Fail yang mengandungi virus selalu disebar dengan tajuk yang menawan hati atau menggelikan hati penerimanya.

Untuk mengelakkan diri daripada tertipu oleh helah serupa taktik tersebut, kita dikehendaki berwaspada terhadap mereka yang bercakap dan bermuka manis yang kadangkala tidak munasabah dan tidak dapat diterima oleh akal selain menyedari akan kelemahan diri supaya tidak diperalatkan oleh mereka yang berniat jahat. sumber: shalehudin

sebutir kata:
Buat pedoman kita semua.. kes camni dah ada sejak azali lagi.. tapi la nie lagi banyak.. berhati hati lah..

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails