Sahabat adalah perisai diri

Sunday, July 19, 2009

Bunga lili putih


Lili putih kekal pilihan utama jambangan, bahan rawatan tradisional masyarakat Orang Asli Afrika

CALALILY atau lili putih berasal dari benua Afrika tetapi lebih banyak menghiasi seni hiasan landskap ala Inggeris manakala bunganya sering dijadikan penghias jambangan untuk kediaman serta majlis keraian.

Nama saintifiknya Zantedeschia aethiopica Spreng daripada keluarga Araceae (kumpulan pokok jenis keladi -Caladium dan Anthurium) juga dikenali sebagai tanaman klasik yang sentiasa mendapat tempat dalam seni hiasan dalaman dan luaran.

Selain itu, Calalily juga dikenali sebagai Calla Lily, Arum lily, Lili Putih, Lily of the Nile, Wit varkoor (Afrika), Intebe (Xhosa) dan Ihlukwe (Zulu).

Tumbuhan ini dinamakan Zantedeschia sempena nama pakar botani Itali Professor Zantedeschi, atau Giovanni Zantedeschi ( 1773-1846) yang banyak mengkaji mengenainya manakala aethiopica bermaksud Ethiopia.

Pada awal 1900, bunga ini bukan hanya menjadi penghias landskap kediaman, malah ia juga menjadi penghias bunga tangan untuk pengantin pada majlis resepsi perkahwinan. Calalily merah jambu ungu hasil kacukan.

Kehadirannya terus mendapat tempat apabila banyak digunakan sebagai jambangan bunga untuk majlis keraian terutama perkahwinan kerana ia boleh tahan lama jika keratan batangnya diletakkan di dalam air.

Kebiasaannya, Calalily berwarna putih, namun hasil kacukan dan penyelidikan, tumbuhan ini dijumpai dalam warna ungu kemerahan, warna krim, merah jambu dan putih kehijauan.

Sebagai panduan bagi membezakan sama ada ia bunga jantan atau betina, gunakan kanta mata bagi melihat debunga. Debunga jantan lebih besar dan berserabut manakala bunga betina mempunyai lubang ovari dekat tangkai kelopak.

Bunganya membiak dengan bantuan serangga untuk proses persenyawaan debunga seperti semut, lebah, labah-labah dan kumbang.

Pokok Zantedeschia aethiopica boleh membesar sehingga satu meter bergantung kepada habitat dan kawasan tanamannya. Daunnya berwarna hijau berkilat berbentuk seperti busar anak panah dan biasanya akan berbunga daripada Ogos hingga Januari.

Menanam pokok ini mudah menggunakan biji benih dan keratan batang dan akar. Seelok-eloknya ditanam sedalam lima cm dalam tanah.

Oleh kerana keunikan dan ciri klasik yang ada pada bunga ini menjadikannya sebagai simbol dan lambang kebesaran Republik Ireland.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails