Sahabat adalah perisai diri

Monday, March 1, 2010

Kes Syafia Humairah

Tamparan hebat kepada kerajaan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Kesal dan dukacita dengan insiden melibatkan Syafia Humairah Sahari, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS menganggap ianya satu tamparan hebat kepada kerajaan, rakyat dan keseluruhan sistem masyarakat di negara ini.

Sehubungan itu, katanya PAS mahu pihak polis melakukan siasatan segera berhubung kes kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun,Syafia Humairah Sahari sehingga membawa kepada kematiannya, Khamis lalu.

"PAS yakin, majoriti rakyat di negara ini berasa marah dan mahu pembunuhnya dihukum mati. Dalam Islam, hukuman bagi kes sebegini adalah dipancung di khalayak ramai sebagai pengajaran kepada rakyat keseluruhannya.

"PAS berharap agar pihak polis mempercepatkan siasatan kes ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

PAS turut menyeru kerajaan agar menyemak semula modul sistem masyarakat dan keluarga yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar selari dengan kehendak Allah.

Usaha murni membina masyarakat tegas Idris, bukan hanya bergantung kepada satu kementerian itu sahaja, tetapi ianya melibatkan semua organisasi Kerajaan yang secara langsung turut memberikan input kepada pembinaan sistem masyarakat di negara ini.

Menurut beliau juga, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan harus membantu dalam memberikan input-input positif dalam masyarakat, bukan hanya program hiburan kepada masyarakat.

"Kajian terhadap kehidupan dan cara fikir rakyat perlu dibuat secara kerap dan tidak hanya bergantung pada kempen-kempen budi bahasa yang menghabiskan duit rakyat dengan pelancaran program dan konsert," katanya.

Kes Syafia ini juga ujarnya, menuntut rakyat untuk kembali kepada cara hidup Islam dan menjadikan keluarga sebagai nadi kekuatan bagi setiap anggotanya.

"Institusi keluarga yang hancur seperti yang dilalui oleh Syafia adalah contoh realiti yang berlaku dalam masyarakat. PAS yakin bahawa ramai lagi anak-anak malang yang hidup dalam suasana seperti Syafia dan perlukan perhatian masyarakat," katanya lagi.

Justeru, PAS berharap agar rakyat dan Kerajaan keluruhannya bekerjasama bagi memulihkan sistem masyarakat yang kian terdedah kepada keganasan ini.

"Tidak guna jika negara ini maju dan menjadi 'global player' tetapi dalam masa yang sama kita hilang identiti sosial untuk diwariskan pada generasi akan datang. PAS yakin, hanya Islam yang mampu berikan kesejahteraan dan perlindungan bagi setiap insan,” katanya.

Syafia, dari Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dilaporkan meninggal dunia Khamis lalu apabila seorang lelaki yang menjadi kenalan ibunya mendakwa kanak-kanak itu terjatuh dari motosikal dan meninggal dunia.

Lelaki itu membawa kanak-kanak tersebut ke Hospital Kuala Kubu Baharu tetapi pihak hospital yang mengesyaki sesuatu yang tidak kena telah membuat laporan polis dan suspek kemudiannya ditahan pada jam 3 pagi selepas berjaya dijejaki polis.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails