Sahabat adalah perisai diri

Sunday, July 18, 2010

Ular: Kagum tapi geli

Kak Ros memang terkagum dengan permainan ular ni. Dari dulu lagi suka tengok ular tapi geli dekat ngan ular. Pegang jauh lagi la...

Sebab tu kak Ros mesti teruja suka kalau tengok berita berkenaan ular besar atau pertunjukan ular di mana mana. Seronok tengok orang yang berani dan pandai bermain ular ni.

Sebab tu dalam berita Kosmo di sini yang memaparkan kisah Amjad Khan tidur dengan ular buatkan kak Ros kagum dan tabik spring la. Jangan laki kak Ros, menjerit lagi kuat dari kak Ros kalau pasai jumpak ular. Dia menjerit bukan pasai takut ular, tapi terkejut kat kak Ros yang menjerit dulu... heh... heh...


******************************

MATA bertentang mata. Kepala ular tedung selar itu mengembang, ligat memerhati gerak-geri tuannya yang seolah-olah membisikkan sesuatu.

Bagaikan mengerti, ular berbisa itu menerkam laju ke wajah lelaki yang berkulit hitam manis itu sebelum tangannya pantas menerpa badan licin haiwan itu.

Begitulah aksi seorang penjinak ular, Amjad Khan Ali Khan pada satu persembahan pelbagai spesies ular berbisa di Batu Feringghi, Pulau Pinang baru-baru ini.

Kebolehan anak kelahiran Taiping, Perak itu adakalanya mengejutkan penonton termasuk sekumpulan pelancong Arab.

Mendekati lelaki yang berbadan sasa itu, beliau ialah anak kepada Raja Ular Malaysia, Ali Khan Samsuddin, 48, yang maut akibat terkena patukan ular tedung selar ketika membuat persembahan pada tahun 2006.

Kematian Ali Khan memang tragik dan mengejutkan. Tragik kerana nyawanya diragut oleh haiwan yang selama ini disayangi dan menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Ali Khan menjadi penjinak ular selama 41 tahun. Pernah pada tahun 1998 beliau mengukir nama dalam Guinness World Records selepas tinggal bersama 6,000 ekor kala jengking selama 21 hari.

Amjad Khan berkata, sepanjang bermain ular selama lebih empat dekad, Allahyarham hanya dipatuk sebanyak lima kali – dua kali oleh ular senduk dan tiga kali oleh ular tedung selar.

Ali Khan, yang merupakan generasi keempat penjinak ular, meninggalkan seorang isteri, Mau Boh Bee Dastagir, 54, dan lima anak – dua perempuan dan tiga lelaki. Amjad ialah anak kedua dan satu-satunya anak yang diturunkan ilmu ular.

Pada 1991 sewaktu ditemu ramah di Pesta Selangor, Ali Khan berkata: “Amjad Khan memiliki semua kualiti untuk menjadi Raja Ular dan dia sudah pun meraih populariti pada usia semuda ini (Amjad Khan berumur enam tahun ketika itu). Dia akan mengambil alih (tugas saya) dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi.”

Hari ini terbukti Amjad sudah menggantikan tempat bapanya.

“Di mana-mana pun boleh mati dan saya sanggup ketepikan nyawa saya semata-mata untuk bermain dengan haiwan berbisa ini.

“Matlamat saya hanyalah satu iaitu menunaikan impian arwah yang mahukan saya mengikut jejak langkahnya sebagai penjinak ular terkenal di Malaysia,” luah Amjad Khan kepada Jurnal.

1,500 kali

Katanya, walaupun tragedi hitam itu berlaku tiga tahun lalu namun beliau tidak pernah trauma sebaliknya bangga mewarisi seni menjinakkan ular sawa, ular tedung selar, senduk, boiger dendropila (ular punti) dan ular merah itu.

Beritahunya lagi, kini cuma kakaknya yang masih fobia dengan haiwan itu ekoran kejadian yang berlaku ke atas arwah bapanya. Kakaknya itu telah beberapa kali menasihati Amjad Khan agar berhenti melakukan perkara seumpama itu.

Ditanya mengenai kehidupannya bersama ular, Amjad Khan berkata, semuanya bermula ketika berusia setahun.

Semasa kanak-kanak lelaki seusianya menjadikan kereta mainan dan pistol air sebagai barang permainan, beliau memilih anak ular sawa sebagai teman bermain.

Menurut Amjad Khan, seawal usia itu beliau didekatkan dengan ular yang diberi nama Baby termasuk dilatih menjinakkan ular yang sama usia dengannya itu.

ALI KHAN mati dipatuk ular tedung selar semasa membuat pertunjukan pada Disember 2006.

“Walaupun pertama kali diberikan ular sawa yang dibuang bisa, rasa takut tidak pernah hadir dalam diri saya. Sebaliknya minat yang mendalam membuatkan saya selesa tidur bersamanya pada waktu itu.

“Pada usia tujuh tahun, arwah ayah melatih saya bermain dengan ular sawa sepanjang 5.4 meter, ular tedung dan tedung selar yang tidak dibuang bisa bagi menggantikan Baby yang mati akibat perbuatan sekumpulan penonton yang cuba mencucuh puntung rokok di badannya dalam satu pameran,” kenangnya.

Amjad Khan pertama kali membuat persembahan bersama ular pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2006 di Serdang, Selangor.

Katanya, beliau dibenarkan oleh arwah bapanya melakukan pertunjukan secara solo dengan mempamerkan pelbagai aksi bahaya seperti mencium ular sawa dan tedung selar, membelitkan ular di badan dan leher serta memasukkan kepala ular ke dalam mulutnya.

AMJAD KHAN sudah melakukan lebih 1,500 kali pertunjukan ular di negara ini.

“Setakat ini, saya telah melakukan persembahan sebanyak lebih 1,500 kali di seluruh Malaysia.

“Alhamdullillah saya belum pernah berdepan dengan perkara di luar jangkaan, cuma pernah beberapa kali sahaja terkena gigitannya tetapi bukan patukannya,” jelasnya.

Berkongsi perkara yang perlu dilakukan untuk bergelar seorang Raja Ular, Amjad Khan berkata: “Anggap ia seperti anak sendiri. Selain mengenali semua spesies ular, kita perlu mengetahui dengan lebih mendalam mengenai keadaan haiwan itu, misalnya masa makan, rehat dan tempoh bersalin kulit.

“Untuk menjinakkan ular, kita perlu mendekati dan membelainya selama 24 jam sehari.”

Menurut Amjad Khan, gigitan ular lebih berbisa berbanding kala jengking dan labah-labah tarantula kerana dalam tempoh kurang 15 minit, nyawa seseorang akan melayang sekiranya tidak mendapatkan rawatan dengan segera.

KALA JENGKING sinonim dengan penjinak ular seperti Amjad.

Amjad Khan memberitahu, tidak dinafikan pada setiap permulaan pertunjukan beliau akan membaca ayat tertentu bagi menaikkan semangat diri sekali gus menghindari perkara tidak diingini.

Bagaimanapun, hasrat untuk tersenarai dalam Malaysia Book of Records akan dilaksanakan pada bila-bila masa kerana itulah harapan dan pesanan daripada arwah bapanya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Sebelum ini arwah pernah merancang untuk tinggal dengan 500 ekor tarantula bagaimanapun hajatnya itu tidak kesampaian. Saya jadikan itu sebagai pembakar semangat untuk saya menggalas impiannya itu.

PENONTON dari Arab Saudi turut mengagumi kebolehan Amjad Khan.

“Saya juga akan tinggal bersama ular berbisa dan membuat satu kejutan kepada orang ramai namun pengisiannya terpaksa dirahsiakan dahulu,” jelasnya. Kos projek itu menelan belanja sebanyak RM100,000, beritahu Amjad Khan.

Sehubungan itu, beliau yang kini mendapat tunjuk ajar daripada kedua-dua pak ciknya, Husein Dastagir dan Mohd. Ali berharap ada pihak yang sudi membuat penajaan bagi menjayakan misi tersebut demi menaikkan nama Malaysia.

3 comments:

  1. salam kk ros...atie mmg takut ular. Nak dijadikn citer..kat umah mak ati mmg ade ular mainan..1 hari anak atie (si amin) main minatang itu tanpa ati sedari..dgn x sengaja dia hulur dpn ati..mak aii..menjerit tak terkata, ati terus lari...yg bestnya, si amin terus la keja mama dia ni tanpa rasa bersalah sambil gelak mengilai-ngilai..kus semangat..habis semua yg ada dlm umah ketawa..sejak ari tu, mak terus sorok minatang tu..hehehe. TAKUT..kalau ati tnampak..kompem akn mimpi ular....eiiii

    ReplyDelete
  2. ops..lupa nk gi tau..ati x bape bace entri akak..sbb..geli nengoknyaa..eeii geli geleman kak ros..hehe (poyo kan?)

    ReplyDelete
  3. Salam atie,
    Kak Ros geli tahap gaban tapi syok tengok... ngeee...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails