Sahabat adalah perisai diri

Monday, October 25, 2010

Demi maruah keluarga

Rozaliya, Helmi putus tunang demi maruah keluarga

ROZALIYA dan Mohd. Helmi akhirnya mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinan mereka.

KEMAMAN 23 Okt. – Rozaliya Mat Lazim, 20, dan Mohd. Helmi Mohd. Noor, 24, akhirnya memutuskan pertunangan sekali gus membatalkan perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada 12 November ini.

Perkara itu disahkan oleh ayah Mohd. Helmi, Mohd. Noor Juah, 53, selepas keluarga pihak lelaki itu mengadakan pertemuan dan berbincang dengan keluarga Rozaliya di Bandar Baru Cheneh dekat sini hari ini.

Mohd. Noor berkata, dia dan isterinya, Mariani Hussin, 46, serta beberapa ahli keluarga lain membuat keputusan itu demi menghormati permintaan keluarga perempuan, selain menyelesaikan segala salah faham dan krisis di antara kedua-dua keluarga berkenaan sejak kehilangan Rozaliya.

Katanya, dia dan seluruh ahli keluarga sanggup datang ke rumah Rozaliya dari Johor pada petang ini untuk menyelesaikan krisis membabitkan pasangan tersebut demi maruah kedua-dua keluarga.

“Biarlah hubungan ini berakhir begini dan kedatangan ini adalah untuk menunaikan permintaan keluarga perempuan yang mahu hubungan pertunangan ini diputuskan demi maruah keluarga dan kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kisah pasangan ini bermula apabila gadis berusia 20 tahun itu dilaporkan hilang di Kuantan pada 13 Oktober lalu selepas keluar membeli barangan keperluan perkahwinan bersama tunangnya itu.

Ekoran itu, pelbagai spekulasi dibuat oleh pelbagai pihak termasuk keluarga Rozaliya yang mendakwa serta menuduh Mohd. Helmi sebagai tidak bertanggungjawab selain dikatakan telah melarikan Rozaliya.

Bagaimanapun, pada 20 Oktober lalu, misteri kehilangan Rozaliya akhirnya terjawab apabila dia ditemui bekerja di sebuah kedai serbaneka di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohd. Noor menyifatkan, apa yang berlaku selama ini telah mencemarkan maruah kedua-dua keluarga lebih-lebih lagi apabila kisah hubungan anaknya dengan Rozaliya menjadi bahan utama akhbar sejak beberapa hari lalu.

“Seluruh keluarga malu apabila pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Mohd. Helmi termasuklah dakwaan yang mengatakan dia telah melarikan Rozaliya. Kami hanya mampu bersabar kerana tahu semua yang berlaku ini ada hikmahnya.

“Jadi saya rasa eloklah berakhir begini dan harap tiada sengketa lagi di antara kedua-dua keluarga,” kata Mohd. Noor.

Pada pertemuan itu, keluarga pihak perempuan memulangkan semula wang hantaran sebanyak RM3,000 serta cincin pertunangan kepada keluarga lelaki.

Dalam pada itu, Mohd. Helmi ketika ditanya mengenai tindakan memutuskan pertunangannya dengan Rozaliya, menyifatkan perkara itu sebagai ketentuan takdir.

“Mungkin sudah tiada jodoh antara kami dan ini adalah yang terbaik untuk menyelesaikan segala kemelut ini dan saya mahu melupakan segala apa yang telah berlaku,” jelasnya yang bekerja sebagai penyelia tanah rancangan Felda Neram 2 dekat sini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails