Sahabat adalah perisai diri

Wednesday, November 3, 2010

Banjir semakin buruk

Air melimpahi sebahagian Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Kampung Malau di Jitra, Kedah, Selasa. Seramai 15,509 penduduk daripada 4,292 keluarga di beberapa daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir akibat banjir yang disifatkan sebagai yang terburuk sejak tahun 2005.Berikutan banjir yang semakin buruk di utara Semenanjung jumlah mangsa yang dipindahkan di Kedah dan Perlis terus meningkat dan menyebabkan gangguan bekalan air di tiga daerah di negeri Kedah.

Di KEDAH, seramai 20,902 penduduk daripada 5,734 keluarga di beberapa daerah di negeri itu dipindahkan ke pusat penempatan banjir akibat dilanda banjir teruk sejak dua hari lepas.

Daripada jumlah itu 12,872 penduduk daripada 3,655 keluarga adalah dari daerah Kubang Pasu, manakala 3,908 mangsa daripada 984 keluarga adalah dari Padang Terap, 3,182 penduduk daripada 878 keluarga di Kota Setar dan 940 penduduk daripada 217 keluarga di Pokok Sena.

Di PERLIS, keadaan banjir di sekitar Kangar bertambah buruk dengan angka mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 6,052 orang berbanding lebih 4,500 mangsa petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata mereka ditempatkan di 40 pusat pemindahan yang diwujudkan di seluruh Perlis.

Setakat ini, 4,127 mangsa yang dipindahkan ialah dari kawasan Kangar manakala 1,091 dari kawasan Padang Besar dan 834 orang dari kawasan Arau.

Di KELANTAN, mangsa banjir yang dipindahkan di Rantau Panjang pada sebelah pagi ini bertambah iaitu seramai 452 orang berbanding semalam 297 mangsa berikutan limpahan air Sungai Golok.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pasir Mas berkata kesemua mereka ditempatkan di dua lokasi pemindahan sementara iaitu di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi dan stesen keretapi lama di pekan Rantau Panjang. Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementeriannya sudah mengarahkan 1,182 pegawai dan kakitangan bersiap sedia bagi menghadapi musim banjir khususnya di bahagian utara semenanjung Malaysia berikutan amaran hujan lebat di tiga negeri itu mulai semalam.

sumber Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails