Sahabat adalah perisai diri

Sunday, January 23, 2011

Antara laungan azan, ceramah agama

Salam,
Mungkin semua dah tau, baru baru ni kita dikejutkan dengan kritikan sorang peguam cina terhadap laungan azan disebuah masjid berdekatan rumah yang dibelinya... lepas tu jadi la sikit kekecohan yang sedikit sebanyak mengundang gempar jugak pada masyarakat berbilang kaum dan agama kita nih...

Kak Ros bukan mengungkit, tapi selepas terjumpa artikel dibawah ni rasa teringin gak nak letakkan diblog ni sebagai rujuka di hari muka... haha... baguih jugak ni... kak Ros copy paste bulat bulat dari BH online...


************************************** 


Hidup berbilang kaum harus didukung sikap toleransi, saling menghormati satu sama lain

LAPORAN akhbar mengenai kritikan seorang peguam terhadap laungan azan sedikit menggemparkan suasana keharmonian negara. Wujud suasana yang agak tegang dalam isu ini pada awalnya tetapi akhirnya membuahkan hasil yang baik lanjutan daripada perbincangan dan permohonan maaf.

Saya ingin membicarakan isu berkaitan masjid dalam dua perkara. Pertama mengenai isu laungan azan dan kedua, mengenai isu ceramah agama.

Dalam hal ini, segenap lapisan masyarakat hendaklah insaf, tahu dan ambil peduli mengenai syiar agama masing-masing. Bagi masyarakat Muslim, azan adalah syiar agama. Azan adalah kalimah yang dilaungkan dengan suara tinggi bertujuan memberitahu mengenai masuknya waktu solat. Ia satu seruan untuk masyarakat Muslim kembali mengingati Tuhannya.

Malah dalam sahih al-Bukhari, ada suatu bab berkaitan azan dan meninggikan suara ketika azan. Dalam riwayat tersebut, ada gesaan agar dinyaringkan suara ketika azan. Ketika zaman itu, teknologi pembesar suara belum lagi wujud. Namun, dengan bersandarkan teknologi kini, suara yang perlahan pun sudah memadai untuk menjadi nyaring menggunakan kemudahan itu.

Apa yang penting, penghormatan kepada syiar agama adalah mustahak dan penting. Agama Islam ada syiarnya , antaranya azan. Justeru azan seharusnya dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.

Ini seperti syiar agama dan amalan perayaan lain. Dalam perayaan Tahun Baru Cina misalnya, bunyi mercun berkumandang dan bunga api pula bergemerlapan yang sedikit sebanyak mengganggu kehidupan masyarakat.

Begitu juga sambutan perayaan Thaipusam yang seperti dilaporkan Wikipedia, turut diadakan upacara tertentu bagi memohon keampunan dosa. Ada yang mencucuk panah besi pada lidah. Ada pula yang mencucuk belakang badan dengan puluhan mata pancing. Bagi masyarakat bukan beragama Hindu, mereka mungkin tidak bersetuju dengan amalan itu.
Tetapi, asasnya adalah penghormatan kepada amalan dan syiar kepercayaan agama masing-masing hendaklah tersemat teguh dalam diri kita. Maka masyarakat Muslim wajib menghormatinya demi keharmonian hidup walaupun berlainan iktikad.
Selain laungan azan, ada aktiviti ceramah agama di masjid dan di surau. Ada juga bacaan zikir selepas solat berjemaah. Pada sesetengah tempat, ia juga dibuat dengan suara yang kuat seperti azan hingga ke luar masjid.

Dalam hal ini, azan adalah syiar agama dan wajar dilaungkan dengan kuat. Namun, tidak sama dengan ceramah agama. Sewajarnya, ceramah agama hanya dihadkan untuk pendengaran jemaah dalam masjid saja. Kalau ia dibuat dalam dewan kuliah di masjid, maka ia terhad kepada dewan kuliah saja. Kalau dibuat di ruangan solat terbuka, sepatutnya ia hanya sekadar ruangan solat saja. Maka tiada kewajaran untuk dibuka nada suara dengan suara yang kuat.

Ceramah agama tidak sama dengan azan kerana azan adalah alunan suara keramat yang datang dengan lafaz yang terhad. Kekuatan azan ini dinyatakan dalam satu riwayat hadis bahawa syaitan akan lari keluar daripada masjid apabila azan dilaungkan. Dalam riwayat hadis yang lain, makhluk yang mendengar azan akan menjadi saksi kepada si tukang azan.

Suara kuat yang boleh mengganggu dalam masjid hendaklah dihindari. Sebagai contoh, ada riwayat hadis bagaimana Nabi Muhammad SAW menegur seseorang yang membaca al-Quran dengan suara yang kuat di dalam masjid. Tidakkah membaca al-Quran itu satu perkara yang baik? Ya, benar bahawa bacaan al-Quran adalah baik. Namun, ketika itu bacaan al-Quran yang kuat itu mengganggu orang lain yang sedang solat. Maka ditegur oleh Nabi SAW agar diperlahankan suaranya.

Cuba kita fikirkan secara logik pedoman yang diajar oleh Nabi SAW kepada kita. Hari ini, kita mempunyai pembesar suara dan dengannya nada suara yang perlahan akan dapat didengari dalam jarak yang jauh.

Bagi azan, kita menerima ia sebagai satu syiar agama. Tempoh azan pun tidak lama mungkin sekadar tiga atau empat minit saja.

Namun, ada masanya sesetengah masjid dan surau menggunakan pembesar suara secara berterusan. Contohnya zikir selepas solat yang dibuat secara berjemaah.

Tidakkah ada di sana golongan yang masih lagi bersolat kerana tertinggal beberapa rakaat? Tidakkah ada di sana golongan yang baru sampai dan ingin memulakan solat? Tidakkah ada di sana golongan yang ingin melaksanakan solat sunat selepas solat fardu? Maka adalah amat wajar jika alunan zikir selepas solat dibuat dengan suara yang lebih perlahan.

Bagi kalangan imam, jauhkan sedikit pembesar suara dan sebutlah sekadar awal-awal ayat untuk zikir saja. Ini supaya tidak mengganggu orang ramai dalam masjid. Dikhuatiri alunan suara akan mengganggu orang lain yang bersolat.

Dalam nas kitab fikah klasik Fath al-Mui’n dengan syarahnya Qurrat al-A’in disebutkan maksudnya : “Guru kami menjelaskan bahawa berlebihan dalam menyaringkan suara dalam zikir dan doa di masjid hingga berlaku gangguan kepada orang yang bersolat, maka sewajarnya ia menjadi haram.”

Kemudian ditambah pula dengan ceramah agama yang mungkin sekitar satu jam. Suaranya keluar daripada masjid. Ada masanya pula ceramah itu mengandungi kejian kepada orang tertentu dan sebagainya. Ada pula ceramah yang mengutuk golongan tertentu. Ada pula ceramah yang melaga-lagakan umat Islam.

Mungkin ada di kalangan kita yang pernah menghadapi suasana sebegitu, namun khuatir untuk menegur. Kehidupan kita terganggu kerana nada suara ceramah yang mengganggu. Mungkin kita ingin berehat, membaca buku dan sebagainya.

Justeru, azan dengan penggunaan pembesar suara adalah baik dan diterima. Namun, bagi aktiviti selain azan seperti zikir selepas solat, ceramah agama dan sebagainya, ia perlu kepada kawalan suara.

Bukan mengawal suara ceramah agama bermakna menolak jihad dan dakwah. Hendaklah disedari bahawa dakwah bukan sekadar berceramah agama dengan suara yang kuat. Sesungguhnya jalan dakwah amat luas.

Penulis ialah guru agama/pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails