Sahabat adalah perisai diri

Thursday, March 17, 2011

Gempa dan tsunami, nuklear Jepun meruncing

KRISIS NUKLEAR JEPUN MERUNCING

FUKUSHIMA 15 Mac – Krisis nuklear Jepun yang disifatkan sebagai paling serius di dunia sejak malapetaka Chernobyl di Ukraine pada 1986, semakin meruncing hari ini apabila paras radiasi didapati meningkat ke tahap membahayakan kesihatan di sekitar sebuah loji nuklear setelah beberapa reaktornya meletup dalam tempoh empat hari lalu selepas berlaku gempa bumi Jumaat lepas.

Perdana Menteri, Naoto Kan menyeru penduduk yang tinggal sekitar 30 kilometer dari loji nuklear Fukushima, 240 kilometer ke utara Tokyo, supaya tidak keluar rumah dan menjimatkan elektrik.

Ketika bercakap mengenai paras radiasi di reaktor No. 4 yang meletup hari ini, Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano mengakui terdapat kemungkinan jelas kesihatan penduduk boleh terjejas.

“Tidak syak lagi berlainan dengan situasi masa lalu, paras radiasi kini pada paras yang boleh membahayakan kesihatan manusia,” kata Edano.

Kedutaan Perancis dalam kenyataan pada 0100 GMT (9 pagi waktu Malaysia) memberi amaran, angin radioaktif paras rendah boleh sampai ke Tokyo dalam masa kira-kira 10 jam, tetapi pihak berkuasa mengesan paras radiasi melebihi normal lebih awal daripada itu di ibu negara Jepun itu.

Paras radiasi di bandar Maebashi, 100 kilometer ke utara Tokyo mencecah 10 kali paras normal, manakala hanya radiasi paras rendah dikesan di ibu negara matahari terbit itu, yang ‘tidak menjadi masalah’, kata pegawai bandar raya menurut agensi berita Kyodo.

“Berlaku kebakaran dan letupan di reaktor No. 4 dan paras radiasi di kawasan sekitar meningkat dengan ketara, kemungkinan berlaku lagi kebocoran bahan radioaktif bertambah meningkat,” kata Kan dengan wajah suram dalam ucapan ke seluruh negara.

Negara serantau juga semakin bimbang dengan risiko radiasi, termasuk China. Syarikat penerbangan Air China membatalkan penerbangan ke Tokyo sementara kerajaan Jepun mengumumkan zon larangan terbang sejauh 30 kilometer di sekitar reaktor di Fukushima.

Media Jepun mula mengkritik Kan berhubung tindakannya menangani bencana itu dan membidas kerajaan dan operator loji nuklear, TEPCO kerana gagal menyalurkan maklumat lengkap mengenai insiden tersebut, terutamanya risiko terhadap kesihatan.

“Keracunan radiasi yang sangat teruk, seperti yang berlaku di Chernobyl dan kepada pekerja Jepun di stesen tenaga nuklear itu, tidak mungkin menimpa penduduk awam,” kata pakar patologi kimia di Universiti Hong Kong, Lam Ching-wan.

Namun, letupan di reaktor itu boleh menyebabkan penduduk awam terdedah kepada radiasi jangka panjang, yang meningkatkan risiko kanser tiroid dan tulang serta leukemia terutamanya kepada kanak-kanak dan anak dalam kandungan, katanya.

Sejumlah empat letupan berlaku di loji Fukushima sejak kompleks itu mengalami kerosakan dalam gempa bumi dan tsunami pada Jumaat lalu, dengan letupan terbaru di reaktor No. 2 dan No. 4, hari ini. – Reuters














Ini kesan dari gempa bumi berukuran 8.9 skala richter yang melanda Jepun diikuti oleh tsunami yang memakan banyak korban harta benda. Manakala angka korban masih belum disahkan walaupun angka kehilangan meningkat lebih 10,000 orang.

Ancaman radiioaktif dari loji nuklear di Fukushima telah memburukkan lagi keadaan di Jepun yang kini dilanda musim sejuk...

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails