Sahabat adalah perisai diri

Wednesday, June 8, 2011

Unta pun naik kapal terbang

IKAN lumba-lumba dan singa laut antara haiwan hidup yang menggunakan perkhidmatan MASkargo.

Oleh MAHATHIR JAMIL
PADA 2 Februari 2011, sekumpulan unta dari Adelaide, Australia diterbangkan ke Malaysia. Penerbangan MH6174 itu membawa 26 ekor unta seberat kira-kira 45,000 kilogram.

Kargo itu diangkut menggunakan pesawat B747-400F yang berlepas dari Adelaide pada pukul 9.45 malam waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.05 pagi.

Perkhidmatan mengangkut haiwan hidup bukanlah sesuatu yang baru buat Malaysia Airlines Cargo Sdn. Bhd. (MASkargo) tetapi kumpulan 26 ekor unta itu adalah perkhidmatan pertama seumpamanya.

Destinasi

Haiwan hidup yang telah diterbangkan oleh MASkargo meliputi haiwan liar iaitu singa dan harimau, haiwan ternakan seperti kuda, kambing dan lembu, hidupan air seperti ikan yu dan reptilia seperti ular.

Kebanyakan penghantaran haiwan itu adalah untuk tujuan pameran, pertandingan, serta ternakan di ladang dan zoo di Malaysia.

Pengurus Komunikasi Korporat MASkargo, Anita Khushairy berkata, penerbangan sewa khas dari Adelaide baru-baru ini membuktikan komitmen MASkargo untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.

“Kami menawarkan khidmat penghantaran haiwan liar dan ternakan yang sukar dibawa melalui jalan darat dan laut.

“Selain itu, perkhidmatan ini bagi mewujudkan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan oleh MASkargo seterusnya menjadi syarikat kargo terkemuka di dunia,” ujar Anita.

Menurutnya lagi, sama seperti perkhidmatan yang lain, MASkargo menawarkan perkhidmatan menghantar haiwan hidup ke lebih 100 destinasi termasuk bandar-bandar utama dunia seperti Jakarta, Sydney, Dubai, Tokyo, Amsterdam, New York dan Tashkent.

Ujar beliau, caj perkhidmatan yang dikenakan bergantung kepada jenis barangan yang dihantar, ruang, jumlah berat keseluruhan dan jarak negara asal barangan tersebut.

Mengulas mengenai proses menghantar haiwan hidup, Anita berkata, setelah tempahan dilakukan, MASkargo akan merancang dan mengaturkan pasukan sokongan di stesen selain memastikan peralatan berada dalam keadaan yang baik.
HAIWAN yang hendak dihantar ke sesuatu destinasi diletakkan di dalam kandang khas sebelum dimuatkan ke dalam perut pesawat.

Setelah itu, haiwan yang tiba dari ladang atau pusat kuarantin akan menjalani proses kemasukan ke dalam kandang.

“Kebiasaannya, proses ini mengambil masa selama 10 jam sebelum pelepasan. Kandang ini kemudian dimuatkan ke dalam kabin kargo lebih kurang tiga jam sebelum pelepasan.

“Semasa aktiviti muatan dijalankan, kami akan mengawasi suhu bahagian kabin kargo supaya berada dalam keadaan yang sejuk untuk mengelakkan haiwan daripada mengalami tekanan.

“Semasa tempoh penerbangan, kami juga perlu mengawasi suhu kabin dengan mengawalnya kepada darjah tertentu,” ujarnya.

Jelas Anita lagi, anggaran muatan penerbangan sewa khas penuh seperti itu bergantung kepada saiz dan berat barangan.

Suhu

Sebagai contoh, katanya, untuk kambing dan biri-biri, dianggarkan sebanyak 2,200 ekor sekali muatan manakala kerbau, lembu dan unta 150 ekor sekali muatan.

Selain daripada penghantaran melalui udara, Anita berkata, MASkargo turut menyediakan kemudahan Animal Hotel bagi mengendalikan haiwan hidup.

Menurutnya, Animal Hotel adalah satu-satunya pusat hentian setempat di rantau ini yang mengendalikan proses transit sementara haiwan.

Bukan sekadar menjadi pusat rehat sementara bagi pengurusan penghantaran haiwan, pusat itu turut menyediakan pelbagai kemudahan lain bagi memastikan haiwan yang dihantar berada dalam keadaan baik.

Perkhidmatan itu disediakan melalui Pusat Kargo (ACC) di KLIA.

“Animal Hotel mempunyai kemudahan khas iaitu bilik sementara yang besar, lima buah kandang serta dua gelanggang kuda yang dikhaskan untuk memberikan kuda latihan sebelum dihantar kepada pemilik atau pihak yang bertanggungjawab.

“Bagi haiwan liar yang menggunakan khidmat ACC seperti harimau, beruang, gajah dan singa, haiwan berkenaan akan diiringi doktor haiwan. Ini bagi menjamin kesihatan dan keselamatannya.

“Sejak beroperasi kira-kira enam tahun lalu, pelbagai jenis haiwan telah menggunakan perkhidmatan Animal Hotel sama ada untuk dieksport, import atau sebagai tempat persinggahan sementara,” cerita Anita.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails