Sahabat adalah perisai diri

Wednesday, August 10, 2011

Setiap perbuatan baik adalah ibadah

Oleh MUSLIM ABDUL RAZAK

ALOR SETAR, 6 Ogos 2011 – Umat Islam diseru agar memahami hakikat ibadah yang sebenarnya dan tidak menganggap hanya solat, puasa, zakat, haji sahaja sebagai ibadah, kerana setiap perbuatan yang baik seperti berniaga, bertani, bersedekah juga adalah ibadah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, ada manusia yang walaupun duduk berseorangan dia tetap berpuasa sedangkan tiada siapa pun yang tahu jika dia makan atau minum, itu kerana ia yakin bahawa Allah melihatnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar Kedah Bersama Pegawai Kerajaan Negeri, Persekutuan, Pegawai Agama, Hakim-Hakim Syarie, Penghulu, GLC, Ahli Majlis dan Staf Urusetia Penerangan.

“Ramai orang menganggap puasa merupakan ibadah manakala amalan lain seperti kerja, mencari rezeki dan amalan lain adalah bukan ibadah. Oleh sebab itu semasa bekerja mereka tidak amanah seperti tidak hadir ke pejabat, “curi tulang,” rasuah dan sebagainya.

“Umat Islam perlu tahu bahwa segala amalan baik selain dari solat, puasa, zakat, haji juga merupakan ibadat.

Jika umat Islam memahami khakikat ini maka umat Islam akan menjadi bertambah baik,” katanya.

Tambah Dato’ Phahrolrazi, semasa permulaan disyariatkan puasa bagi umat Islam, berlakunya perperangan yang pertama dalam Islam iaitu peperangan Badar.

Walaupun baru sahaja dibentuk negara Islam dan pentadbiran Islam adalah diperingkat permulaan. Allah memerintahkan supaya umat Islam berpuasa dan pada masa yang sama juga berlakunya peperangan Badar.

“Bayangkan dalam keadaan berpuasa dan cuaca panas terik umat Islam perlu berperang. Tentera Islam seramai 313 orang manakala tentera Musyrikin lebih ramai dari mereka. Orang musyrikin tidak berpuasa namun umat Islam masih kuat tetapi hari ini apabila umat Islam berpuasa produktiviti negara menjadi makin berkurang,” ujarnya.

Hari ini ada negara yang pemimpinnya mengarahkan supaya rakyatnya supaya tidak berpuasa agar produktiviti negara tidak jatuh dan ada juga negara yang tidak membenarkan pemain bola sepaknya berpuasa agar tidak kalah dalam perlawan tersebut. Adakah Allah menjadikan sesuatu hukum untuk menyusahkan penganutnya?” soalnya.

Tambah Dato’Phahrolrazi, rukun Islam yang pertama adalah mengucapkan dua kalimah syahadah, yang keduanya adalah solat lima kali sehari semalam, dan yang ketiganya adalah berpuasa di bulan Ramadhan. Ini bererti puasa merupakan sesuatu yang penting di dalam Islam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails