Sahabat adalah perisai diri

Monday, September 5, 2011

Hantu stesen bawah tanah


STESEN Underground London merupakan stesen kereta api bawah tanah tertua di dunia.

JIKA berkunjung ke London, tidak lengkap kunjungan tersebut sekiranya tidak menaiki kereta api bawah tanah yang dikenali sebagai London Underground atau The Tube.

Menarik tentang The Underground di kota dengan populasi 7.7 penduduk ini, sistem laluan kereta api bawah tanah tersebut merupakan jaringan tertua dan tersibuk di dunia. Mempunyai 268 stesen di sepanjang 400 kilometer landasan, ia merupakan sistem metro terpanjang di dunia. Tidak hairanlah, pada tahun 2007 sahaja, lebih satu bilion perjalanan penumpang direkodkan.

Mula dibuka pada tahun 1863, The Underground menyimpan banyak kisah misteri sepanjang 148 tahun ia beroperasi. Aktiviti paranormal dikatakan berlaku hampir di setiap stesen sehingga ada stesen yang dikenali sebagai stesen berhantu seperti Hyde Park Corner berhampiran Taman Hyde, London.

Tanpa wajah

Seperti kebanyakan stesen bawah tanah lain, ramai pengguna pernah terserempak dengan jelmaan hantu di sini, terutamanya pekerja di stesen berkenaan.

“Kami pernah melihat bayangan hitam dan jelmaan roh di ruang penempahan tiket. Ia muncul secara tiba-tiba dan suasana ketika itu memang menyeramkan.
KEADAAN di dalam sebuah daripada koc kereta api bawah tanah di London.

“Pernah juga eskalator berfungsi sendiri sedangkan tidak ada sesiapa di kawasan tersebut,” ujar pekerja Underground London, Sheila Parker. Dia mengakui ada beberapa pekerja yang pernah terserempak dengan entiti menakutkan tidak lagi datang bekerja di situ.

Di Stesen Beantree, lain pula ceritanya. Pada tahun 1992, seorang pekerja yang sedang bekerja sendirian di tingkat bawah mendengar pintu pejabatnya berdetar seperti ditiup angin kuat, sedangkan pintu tersebut mempunyai pemberat di bahagian atas dan akan tertutup secara automatik apabila dibuka.

Dengan perasaan gementar, dia naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku dan mencari rakannya.

Namun, tiada sesiapa di tingkat atas. “Saya rasa seperti diperhatikan. Apabila saya menoleh ke belakang, saya melihat kelibat wanita berambut perang tanpa wajah berdiri di muka saya.

“Apabila saya bercerita dengan rakan-rakan sekerja, rupa-rupanya mereka juga pernah terserempak dengan wanita tanpa wajah itu,” kata pekerja tersebut.

Hantu berambut perang yang ditemui di Beantree sebenarnya turut ditemui di stesen lain.

Menurut cerita seorang rakyat Malaysia yang pernah menuntut selama tujuh tahun di Kota London, dia pernah terserempak dengan jelmaan wanita berambut perang memakai gaun panjang pada waktu malam di stesen Underground London.

“Saya dan rakan pernah terserempak dengannya di platform Stesen Aldwych. Menurut cerita orang tempatan, jelmaan wanita tersebut sering dilihat sama ada oleh penumpang mahupun pekerja pembersih di stesen berkenaan. Namun, wanita ini berwajah cantik.
TIDAK semua orang berani untuk berada di dalam tren seorang diri pada waktu malam.

Bunuh diri

“Mereka percaya, itu adalah jelamaan roh pelakon teater Royal Strand. Sebelum ini, stesen ini adalah tempat pementasan teater,” kata Mohd. Noor Yusuf, 32.

Stesen bawah tanah di jaringan Piccadilly Line, di antara Stesen Holborn dan Covent Garden ini bagaimanapun ditutup pada tahun 1994 dan kereta api hanya melintasinya.

Mohd. Noor menambah, tidak jauh dari situ, di antara Tottenham Court Road dan Holborn di jaringan Central Line, kelibat seorang lelaki bertopi tinggi dengan sebatang cerut dikatakan sering menghantui stesen berkenaan.

“Dengar cerita, kelibat lelaki itu mula dilihat sejak tahun 1950-an lagi. Kata orang, lelaki itu ialah William Terriss yang mati dibunuh di stesen tersebut pada tahun 1890-an,” katanya.

Selain kelibat lelaki dan wanita, kisah misteri suara tangisan bayi di bekas Stesen Farringdon di Metropolitan Line juga sering diperkatakan.

“Suara tangisan menyayat hati itu biasanya kedengaran bergema di dinding terowong. Katanya ia milik seorang remaja penjual topi yang terbunuh di dalam terowong ini,” kata Mohd. Noor yang pernah mendengar cerita bahawa ramai orang menjadikan terowong Underground London sebagai lokasi untuk membunuh diri.

Jelas Mohd. Noor, jika datang ke London, kalau menaiki kereta api bawah tanah dan terlihat platform gelap yang tiada manusia di dalamnya, itu merupakan bekas stesen yang telah ditutup dan dikenali sebagai stesen hantu.

“Sepanjang 400 kilometer landasan ini, ada lebih kurang 40 stesen hantu dan masing-masing ada cerita di sebaliknya.

“Sejauh mana benar cerita yang disampaikan, saya sendiri kurang pasti,” ujarnya.

Kewujudan aktiviti paranormal yang aktif di kawasan stesen Underground London memang sudah lama disedari malah ia juga pernah didokumentarikan dalam The History Channel.

Namun atas fungsinya sebagai nadi pengangkutan utama di kota London, ramai yang tidak mahu terlalu memikirkannya. – SITI NOR AFZAN KASIMAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails