Sahabat adalah perisai diri

Tuesday, October 18, 2011

Jangan pandang remeh perkara ni...

Peringatan untuk Kak Ros jugak. Selalunya kita ambil ringan benda benda macam ni, sebenarnya ia amat penting untuk kita. Lagi kita berusia, lagi banyaklah kita kena jaga kesihatan diri....

myMetro Hati

Rasa kagum penulis terhadap ahli Persatuan Menopaus Malaysia yang rata-rata berusia antara 55 hingga 70 tahun masih tebal kerana pada usia begini, semuanya tetap cergas dan mampu meredah bukit di Pulau Pangkor. Malah sehingga kini mereka masih aktif dengan pelbagai aktiviti persatuan dan masyarakat.

Ramai orang beranggapan apabila masuk usia menopaus, mereka sebenarnya sudah tua. Tua hanyalah ukuran angka tetapi kita masih boleh kekal muda khususnya dari segi keaktifan dan pemikiran yang makin matang. Namun begitu, masih ada sesetengah wanita berpegang kepada beberapa perkara yang kurang tepat seperti:

Kepercayaan 1: Semakin tua, badan semakin lemah.

Hakikatnya: Ketegangan dan kesakitan otot memang selalunya dikaitkan dengan peningkatan usia tetapi ia bukanlah sebahagian daripada proses semula jadi penuaan. Ia sebenarnya disebabkan kurangnya pergerakan kerana otot kita bekerja dengan konsep ‘jika tidak digunakan, ia akan hilang’. Walaupun memang berlaku perubahan tisu apabila usia meningkat tetapi kita masih boleh kekal anjal dan bebas daripada kesakitan melalui amalan gaya hidup aktif dan rajin bersenam.

Kepercayaan 2: Sudah agak terlewat menjaga badan dan kesihatan selepas menopaus.

Hakikatnya: Siapa kata? Pengarah Perubatan Yayasan Jantung Negara, Datin Dr Liew Yin Mei berkata, tiada istilah terlewat dalam soal penjagaan kesihatan, tidak kira berapa pun umur atau bagaimana status kesihatan kita.

Amalan gaya hidup sihat dan tabiat pemakanan akan menjadi penyumbang penting kepada corak penuaan kita. Tingkatkan kualiti gaya hidup dengan menjaga makan, bersenam dan mendapat rehat secukupnya.

Kepercayaan 3: Saya terlalu tua untuk belajar perkara baru.

Hakikatnya: Ini kepercayaan yang silap. Tiada had umur yang membataskan seseorang daripada belajar. Saban tahun, setiap kali musim graduasi, ada saja berita mengenai graduan berumur. Jika mereka boleh, kita juga tentu boleh walaupun kebolehan kita berbeza.

Kita tidak perlu mengikut jejak mereka ke menara gading kerana ada banyak perkara yang kita boleh pelajari setiap hari. Contohnya, kita boleh belajar bermain catur, menggunakan komputer (dan Internet) atau apa saja yang digemari.

Apa yang diperlukan ialah sikap positif dan mahu mencuba. Jika kita berfikiran negatif, perkara mudah pun akan jadi payah.
Kepercayaan 4: Seks hanya untuk orang muda.

Hakikatnya: Salah. Warga emas juga boleh terus menikmati kehidupan seks yang menyeronokkan. Tafsiran seksual pada golongan senior ini mungkin sedikit berbeza dengan orang muda. Perubahan hormon selepas menopaus akan mempengaruhi kehidupan seksual wanita tetapi masih ada cara untuk menikmati hubungan intim dengan suami.

Pelajari kaedah yang sesuai dengan anda berdua kerana apa yang penting ialah kasih sayang anda berdua sentiasa subur dan berpanjangan.

Kepercayaan 5: Semakin tua, saya jadi kurang menarik.

Hakikatnya: Tiada apa yang lebih menarik perhatian daripada wanita berumur yang sihat dan sentiasa menjaga penampilannya. Kecantikan wajah bukanlah ukuran penting kerana ia akan pudar, kerana wanita yang matang akan kelihatan lebih cantik dan menarik.

Tua sejahtera

Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk menjalani penuaan dengan sejahtera. Antaranya:
  • Mengekalkan diet seimbang dengan mengurangkan garam dan lemak.
  • Bersenam.
  • Mengelak pengambilan terlalu banyak kafein dan alkohol.
  • Mendapat tidur yang cukup.
  • Mengekalkan berat badan seimbang.
  • Berhenti merokok (perokok wanita akan menopaus dua tahun lebih cepat berbanding wanita tidak merokok).
  • Terima perubahan diri dengan fikiran terbuka.
  • Mengambil pil kalsium dan vitamin D untuk kesihatan tulang.
  • Mendapatkan pemeriksaan kesihatan (contohnya mamogram, Pap smear, ujian tekanan dan tulang) secara berkala.
  • Belajar menangani tekanan dan mengambil sikap positif terhadap kehidupan.
  • Dapatkan rawatan penggantian hormon (HRT), sebaiknya berbincang dengan doktor terlebih dulu.
  • Tanam hobi baru.
  • Perluaskan pergaulan dengan menyertai aktiviti keagamaan atau kemasyarakatan.
  • Banyakkan membaca atau melakukan aktiviti yang mencabar minda supaya fikiran anda tetap tajam.
  • Pergilah bercuti bersama pasangan atau anak-anak jika berkemampuan.

Tuhan sayang hambaNya yang ambik berat kesihatan diri...

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails