Sahabat adalah perisai diri

Tuesday, October 4, 2011

Kisah model yang mendapat hidayah...

Sara Bokker, model yang mendapat hidayah

TIDAK ada seorang pun yang boleh mengagak bagaimana nasibnya pada masa akan datang, sama ada akan jadi baik atau sebaliknya, semua itu telah ditentukan Allah dalam aspek qada dan qadar yang telah ditetapkan-Nya.

Walau bagaimanapun, manusia perlu berubah jika keadaan dirinya pada masa kini tidak memperlihatkan bahawa dia seorang yang baik malah menyanggah banyak hukum Allah SWT.

Sesunguhnya Allah SWT tidak merubah keadaan atau nasib seseorang individu di kalangan hamba-Nya, melainkan dirinya sendiri mahu berubah kepada yang lebih baik pada masa akan datang, ia bertepatan dengan firman-Nya menerusi ayat 11 surah ar-Ra’ad yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah mengkehendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.

Demikianlah penjelasan Allah dalam kitab suci-Nya al-Quran al-Karim, di mana individu manusia yang jahat sekalipun jika mahu lakukan perubahan melalui pembelajaran seperti duduk dalam majlis majlis ilmu, ceramah atau kuliah agama, motivasi, kaunseling, adalah tidak mustahil boleh berubah menjadi manusia yang baik, pengkisahan manusia jahat menjadi baik terdapat dalam al-Quran dan hadis hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Inilah yang berlaku kepada seorang wanita yang pernah terjebak dalam kancah maksiat dengan mendedahkan aurat untuk dipertonton kepada umum tanpa merasakan apa yang dilakukannya benar-benar menyanggah bukan sahaja Islam, malah doktrin agama-agama lain di dunia.

Namun, sedikit kesedaran yang ada dalam diri, mula memikirkan apa yang dilakukannya selama ini adalah bertentangan dengan nilai-nilai murni, inilah yang pernah dilalui oleh Sara Bokker, seorang model yang memilih Islam sebagai agama terakhir.

Pengalaman hidup Sara Bokker Sara menceritakan pengalaman hidupnya bahawa beliau merupakan seorang gadis sama seperti gadis-gadis lain yang terdedah kepada pelbagai latar belakang kehidupan sosial, lebih-lebih lagi golongan anak muda yang sezaman dengannya cenderung kepada kehidupan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan tanpa had batasan.

Setiap gadis mempunyai cita-cita dan impian yang menggunung untuk menjadi seorang yang terkenal pada masa akan datang, sama ada terkenal sebagai seorang pelakon, penyanyi atau selebriti yang mengaut keuntungan berlipat ganda, tetapi jalan yang dipilih Sara untuk terkenal ialah menjadi seorang model yang sentiasa terdedah kepada kemasyhuran.

Kerjaya Sara selepas menamatkan pelajaran di peringkat menengah ketika usianya mencecah 19 tahun, telah memasang impian yang tinggi dan pada peringkat awal berhijrah ke Florida di mana ia adalah tempat berhimpun lambakan para bintang terkenal dalam segenap bidang yang diceburi terutama di kawasan South Beach dalam daerah Miami.

Sejak kedatangan Sara ke Florida, beliau bersama rakan-rakan gadis yang lain mengintai-intai peluang untuk berjaya dalam kerjaya.

Kebetulan Sara memiliki rupa paras yang menawan dan beliau telah dicadangkan agar menceburi bidang modeling dan menyertai beberapa siri pertandingan ratu cantik dan pernah dinobatkan sebagai johan peringkat daerah.

Sara tidak melepaskan peluang untuk mendalami pengajian dalam bidang kecantikan apabila ditawarkan untuk berbuat demikian. Beliau menumpukan banyak masa untuk berjaya dalam bidang kecantikan ini hingga meraih sijil diploma kecantikan yang melayakkannya mengajar kepada golongan remaja khususnya para gadis jelitawan.

Pada masa yang masa beliau terlibat dalam pertunjukkan kecantikan dengan berpakaian bikini yang menjolok mata para penonton ditambah dengan keayuan rupa parasnya yang menawan.

Itulah kebahagiaan yang dicapai dalam impiannya ketika menceburi bidang modeling yang menjadi impian setiap gadis yang rupawan tetapi terlibat dalam meminum minuman keras hingga menjadi penagih yang tidak berkesudahan.

Walau bagaimanapun, setelah berjaya menempah nama dalam bidang modeling ini, beliau mula terfikir bahawa semua apa yang dilakukan sepanjang penglibatannya dalam modeling bagaikan sesuatu yang akan menemui noktahnya, malah beliau juga terfikir seolah-olah pencapaiannya dalam bidang modeling keuntungannya dikaut oleh penganjur yang mengeksplotasi kaum wanita terutamanya model.

Berubah ke arah kebaikan Sejak Sara bergelumang dalam kemasyhuran di bidang modeling telah membuatnya rasa teruja untuk terus menjadi terkenal dan kaya, arak sudah menjadi darah dagingnya yang sukar untuk berpisah dengannya, namun fikirannya mula difungsikan untuk memikir apakah bidang yang diceburinya itu mampu menyelamatkan daripada kemelut hidup yang berpanjangan.

Beliau mula memikirkan bahawa dengan agama sahaja yang boleh menyelamatkannya daripada sebarang kemelut, masalah dalam kehidupan. Beliau mula mencari-cari kebenaran agama untuk disesuaikan dalam kehidupannya yang penuh dengan tanda tanya. Fikirannya mula tertumpu kepada sejauhmana kelazatan hidup mampu menjadi penawar, tetapi apa yang disaksikan kebanyakan hidup manusia tanpa agama berakhir dengan kemusnahan.

Sara mencari-cari kebenaran agama, pada 11 September 2001, apabila bangunan Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di New York musnah dalam serangan sebuah pesawat, berita dunia tertumpu kepada keganasan umat Islam walaupun tidak dibuktikan dengan hujah atau bukti kukuh yang menunjukkan golongan Muslimin terlibat.

Beliau mula berfikir bahawa Islam dan umatnya dituduh sebagai punca kemusnahan dan keganasan, ia suatu yang tidak adil, beliau menyifatkan bahawa tuduhan liar itu bagaikan bermula Perang Salib Moden.

Beliau ingin tahu lebih dalam dan terperinci tentang Islam yang dikatakan media sebagai penjana keganasan.

Pada mulanya beliau beranggapan bahawa Islam tidak lain hanyalah tudung kepala dan niqab (penutup muka) yang dipakai oleh muslimah dan muslimnya pula dibenarkan untuk berpoligami. Tetapi sebenarnya pandangannya itu meleset, kerana Islam bukan hanya apa yang digambarkan, tetapi Islam adalah satu cara hidup yang menyeluruh yang bersifat komprehensif dan sejagat (universal).

Segala tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam dan umat Islam telah membuka matanya untuk lebih mengetahui hakikat agama Islam itu.

Jelas menunjukkan tohmahan itu baginya adalah tidak berasas kerana beliau masih teringat semasa di bangku sekolah bahawa salah seorang gurunya pernah menegaskan bahawa manusia yang diciptakan di muka bumi ini adalah sama, tidak ada perbezaan antara satu sama lain. Inilah yang telah menyebabkannya beralih angin untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam.

Mula mentelaah kitab-kitab agama khususnya berkaitan dengan iman dan akidah, membelek-belek kitab suci al-Quran, bertanyakan individu Muslim mengenai Islam serta mendekati golongan Muslimat yang berpakaian menutup aurat dan bertanyakan kepada mereka konsep pemakaian Muslimah dalam Islam yang diperintahkan Allah dalam al-Quran.

Apa yang memberangsangkannya ketika membelek al-Quran apabila bertemu ayat yang Allah tujukan kepada manusia berkenaan dengan persoalan hati secara langsung dalam banyak ayat, antaranya ayat 27 – 30 surah al-Fajr (89), firman Allah yang bermaksud: ”(Setelah menerangkan akibat orang orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal salih akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! –(27) "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu) (28) "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia (29) "Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku!"(30)

Sesungguhnya ayat tersebut telah menyentuh hati dan sanubarinya hingga mula melakukan perubahan drastik untuk menjadi hamba Allah yang patuh dan taat hanya kepada-Nya.

Inilah yang dikatakan qada dan qadar Allah SWT yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak di dunia ini, kerana taufiq dan hidayah-Nya akan diberikan kepada siapa yang dikehendaki- Nya walaupun pernah menjadi manusia durjana satu ketika dahulu.

Sara menyatakan kegembiraannya yang tidak dapat digambarkan betapa dengan taufik dan hidayah Allah SWT sahaja beliau menerima Islam berpunca daripada tohmahan pihak Barat terhadap Islam seusai tragedi 11 September 2001.

Beliau amat mengharapkan pertolongan Allah SWT agar menukar hidupnya daripada berbikini kepada bertudung dan berniqab dan sering menasihati pihak lain agar lakukan perubahan dan jangan merosakkan nilai-nilai tamadun yang telah dicipta oleh Islam sejak 14 abad lalu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails