Sahabat adalah perisai diri

Friday, October 28, 2011

Mencari rezeki yang halal.

Salam ,
      Biar apa pun orang nak kata, asalkan rezeki yang halal, tentu berat sungguh tanggungjawab dia ni kan...ya la,bukannya senang hari hari dok bawa nyawa orang, kena hadapi dengan semua kerenah orang, kena tahan telinga dengan kata kata orang tapi apa kan daya nak cari rezeki untuk anak anak.
Kak Ros kagum dengan ketabahan dan kecekalan hati dia ,kita ni di kira beruntung lah kerana masih ada tempat nak bergantung.

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


PARA penumpang mengakui berasa lebih selamat menaiki bas yang dipandu oleh wanita.

SEBAIK meletakkan motosikal di dalam kawasan depoh Sentul, Norsiah Salim, 46, pantas membuka topi keledar yang dipakai. Rambut hitamnya yang panjang mengurai dibiarkan lepas bebas. Sesekali jari-jemarinya mengelus helaian rambut yang terdapat di muka.

Lengkap memakai persalinan kemeja rona biru lembut yang dipadankan dengan seluar hitam, wanita itu berjalan pantas untuk mengemas kini alat perakam waktu atau punch card bagi tugasan pada hari tersebut.

Langkahnya terus diatur menuju ke sebuah bas mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) yang bernombor plat WVB 4123. Enjin kenderaan tersebut mula dihidupkan. Deruman kasar bergema memenuhi ruang di kawasan sekitarnya.

Sementara menunggu enjin bas panas, wanita berkulit cerah itu bertindak memeriksa kebersihan bas. Dari depan hingga ke bahagian belakang, dia teliti melakukan tugas berkenaan.

Selepas berpuas hati dengan keadaan dalam bas itu, barulah dia kembali ke posisi di bahagian tempat duduk pemandu dan membawa bas itu ke ruang mengisi minyak yang terdapat di dalam depoh tersebut.

Sejurus minyak memenuhi tangki bas, Norsiah mula memandu bas itu keluar dari depoh RapidKL yang terletak di Jalan Sentul Sehaluan, Sentul Pasar, Kuala Lumpur.

Gaya pemanduannya kelihatan bersahaja dan sesekali dia mencuri pandang ke arah cermin belakang bagi memastikan keadaan lalu lintas dari arah berkenaan.

Kerenah  penumpang

Hari itu seperti biasa bas yang dipandu akan dibawa melalui Jalan Pekeliling ke KLCC dan Jalan Bukit Bintang. Sebaik sampai ke destinasi laluan yang dituju, dia berhenti untuk mengambil beberapa penumpang.

“Selamat pagi kak, cantik hari ni,” tegur seorang penumpang lelaki yang kemudian dibalas Norsiah dengan senyuman tanpa sebarang jawapan.

Itu antara situasi yang sering dihadapi Norsiah dalam melayan pelbagai kerenah penumpang yang menaiki bas dipandunya. Malah, lebih teruk ada penumpang lelaki termasuk warga asing cuba mengurat dan meminta nombor telefonnya untuk dihubungi.

Namun, sebagai pemandu bas wanita yang berpengalaman selama dua dekad, dia menganggap gurauan itu sebagai ‘makanan’ hariannya di samping berpegang pada prinsip menjaga disiplin diri sewaktu melaksanakan tugas

SEBAGAI pemandu bas wanita, Norsiah sentiasa memandu dengan cermat dan berhati-hati bagi memastikan keselamatan penumpang lebih terjamin.

“Usikan sedemikian dah biasa sangat saya dengar. Tapi, semua itu saya tak peduli kerana niat saya hanya mahu mencari rezeki untuk menyara keluarga,” demikian ungkapan telus yang lahir di bibir Norsiah yang mula membawa bas sejak usia 26 tahun.

Sebelum membawa bas Rapid KL, dia pernah ditugaskan membawa bas mini yang begitu popular di ibu kota suatu ketika dahulu diikuti bas Intrakota. Malah, jika dahulu gaji yang diterima sekitar RM1,600 sebulan, tetapi kini Norsiah berpuas hati dengan pendapatan yang mencecah RM3,500 sebulan.

Apatah lagi sejak bergelar ibu tunggal kira-kira enam tahun lalu, Norsiah ternyata mampu berdikari untuk menampung kehidupan selepas ditinggalkan suami bersama empat orang anak.

Wanita itu mengakui dia sebenarnya langsung tidak berminat dengan kerjaya sebagai pemandu bas. Bagaimanapun menyedari tiada kemahiran lain dan tidak berpelajaran tinggi, Norsiah kuatkan hati untuk mencubanya.

“Sebagai wanita sudah tentu kita tidak mahu menceburi kerjaya yang rata-ratanya didominasi oleh golongan lelaki. Sebaliknya, pasti ramai yang suka dengan pekerjaan yang selesa seperti di pejabat berhawa dingin, menghadap komputer dan sebagainya.

“Namun, saya sedar tanpa sebarang kelulusan, impian memiliki kerjaya yang diminati tidak akan tercapai. Justeru, saya kuatkan semangat dan membuang rasa malu yang ada dalam diri untuk menjadi pemandu bas,” jelas Norsiah mengimbau detik-detik awal penglibatannya dalam kerjaya tersebut.

Apakah pengalaman yang dirasai ketika memandu bas buat kali pertama? Norsiah mengakui perasaan gementar menguasai fikirannya

                             .

“Memang sewaktu kali pertama memegang stereng bas, jantung saya berdebar-debar dan rasa gemuruh dalam hati. Malah, saya juga bimbang dan tertanya-tanya adakah saya mampu melakukan pekerjaan ini.

“Tetapi apabila memikirkan niat untuk bekerja mencari rezeki yang halal, perasaan takut yang bersarang di dada dibuang jauh-jauh. Sebaliknya saya tanamkan keyakinan dalam diri bahawa saya juga boleh memandu bas dengan baik,” tutur Norsiah yang tidak pernah mengalami kemalangan sepanjang membawa kenderaan tersebut.

Dipandang sinis

Berbicara lanjut, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu memberitahu sewaktu mula-mula bertugas sebagai pemandu bas, ramai sanak saudara yang memandang sinis kepadanya.

Tetapi, semua tanggapan negatif itu tidak dihiraukan kerana bagi Norsiah dia hanya mahu membantu keluarga mencari rezeki yang halal.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran saya lama-kelamaan pandangan negatif sanak saudara tersebut lenyap kerana menyedari bahawa wanita juga sebenarnya mempunyai kemahiran tersendiri memandu kenderaan berat itu,” ujar wanita itu sambil menghela nafas panjang tanda lega dengan situasi yang dilalui ketika itu.

Menyelami kehidupan Norsiah, tanpa sedar ia mampu menerbitkan rasa kagum di hati apabila melihat ketabahannya dalam melaksanakan tugas.

Seawal pukul 4 pagi, Norsiah sudah bangun untuk bersiap-siap ke tempat kerja. Dia dikehendaki berada di   depoh sekitar pukul 5 pagi untuk memulakan tugas membawa bas pertama pada pukul 6 pagi.

MEMANDU kenderaan bersaiz besar seperti bas memerlukan kemahiran yang tinggi untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Jika ditugaskan pada sesi pagi, rutin kerjanya akan berakhir pada pukul3 petang. Bagaimanapun, jika khidmat diperlukan dia perlu menyambung tugas memandu bas sehingga pukul 8 malam.

Setiap hari, Norsiah akan berulang-alik mengambil penumpang di laluan yang telah ditetapkan sehingga 14 kali bergantung kepada lalu lintas di kawasan tersebut.

“Kalau jalan sesak, jumlah itu mungkin berkurang. Bayangkan saya pernah duduk sahaja di dalam bas yang hanya dapat bergerak seinci demi seinci selama hampir empat jam.

“Memang lenguh kaki dan badan. Tetapi, demi tugas semua perasaan letih dan penat yang dirasai dibuang jauh. Kesabaran juga perlu ditingkatkan semata-mata untuk menjaga keselamatan penumpang yang berada di dalam bas,” tegas Norsiah sambil menyatakan dalam tempoh sebulan, laluan akan diubah sebanyak dua atau tiga kali mengikut tugasan yang diberikan pihak pengurusan.

8 comments:

  1. cekal betul wanita ini..
    tulang besi, urat dawai ni,
    payah nak jumpa..
    bawa van sekolah, van kilang, bawa teksi banyak dah..

    ReplyDelete
  2. nani pernah naik bas yg dipandu oleh wanita..tapi bas metro la..tu kali pertama dan terakhir la..tapi ok je dia drive...dah memang itu punca rezekinya...takde masalah la...tak salah pon keje dia tu

    ReplyDelete
  3. Salam Anim,

    Tu la..apa pun kalau kita mau seribu daya kalau tak mau tu banyak lah dalih dia kan.

    ReplyDelete
  4. Salam Nuwairani,

    Baik banyak daripada dok pi buat kerja yang tak senonoh tu.Biar orang tengok tak glamour,janji kita cari rezeki yang halal

    ReplyDelete
  5. tak ramai wanita setabah beliau....sanggup harungi ssegalanya demi mncari rzki halal

    ReplyDelete
  6. Salam Mulut Payau,

    Memang betoi tu MP,inilah yang dikatakan ibu yang baik sanggup buat apa saja demi anak anak.

    ReplyDelete
  7. slam kak ros.. wah jarang gila ada supirr bus wanita ni. hehe... mmg tabah dan nekad btul kan... gaji pun ok..

    ReplyDelete
  8. slam Cik Pipi Tembam,

    Tu la.. Kak Ros, nak bawa kereta pun terhegeh hegeh.Demi anak anak kan sanggup apa saja.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails