Sahabat adalah perisai diri

Friday, January 6, 2012

berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul...

Salam,
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul ni kan.......Simpati sungguh Kak Ros dengan derita keluarga ni...sebelum ni kak Ros tak pernah dengar pun penyakit seperti ni..Ujian dari Allah ni...bebagai bagai. Sedih sungguh Kak Ros tengok adik 2 orang ni.....tapi nak buat macam mana kan ,ini semua kerja buat Allah.Allah  tu maha adil,Kak Ros yakin akan ada hikmah disebalik apa yang keluarga ni tanggung selama ini...

Oleh MANIRAH OTHMAN dan NURUL IZZA ROSLY


BAGAIKAN masih di dalam rahim ibu, pasangan kembar Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq Hashim masing-masing 15 tahun seolah-olah tidak dapat dipisahkan.

Keakraban kedua-dua beradik ini mungkin terbawa-bawa kerana mereka pernah berkongsi rahim yang sama 15 tahun lalu.

Benarlah kata pepatah, pasangan kembar mempunyai naluri yang kuat antara satu sama lain. Namun, Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq bukan sekadar berkongsi naluri yang sama seperti pasangan kembar lain, sebaliknya mereka berkongsi 'derita' yang sama.

Kedua-duanya menghidap penyakit tulang rapuh (soft bone) yang dikesan ketika masih bayi iaitu sekitar 18 bulan dan baru belajar bertatih.

Akibat penyakit tersebut, bahagian betis mereka tidak sempurna sifatnya kerana ia membengkok seakan-akan akar pokok kerana terlalu kerap patah.

Kesannya, tumbesaran remaja tersebut terjejas. Pada masa yang sama mereka tidak dapat bergerak aktif kerana khuatir tulang mereka patah jika terlanggar tunggul kayu ataupun anak tangga.

HASHIM (kanan) menganggap penyakit yang dihidapinya dan tiga anaknya adalah ujian daripada Allah.

Setiap langkah yang diatur perlu berhati-hati kerana jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya. Lebih perit, kecederaan tersebut mengambil masa yang lama untuk pulih iaitu antara dua hingga tiga bulan.

Bukti episod kesakitan anak keenam dan ketujuh daripada lapan beradik itu dapat dilihat melalui kesan patah kerana struktur kaki mereka menjadi pipih persis akar kayu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah pepatah yang paling tepat menggambarkan keadaan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Serating, Merchang, Marang, Terengganu itu kerana penyakit mereka belum ada penawarnya.

"Setiap kali ingin berjalan, saya perlu berhati-hati bagi mengelakkan daripada tulang saya patah akibat terlanggar sebarang objek," kata Mohd. Syafiq ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Bagi Fatihah pula, sebiji bantal terpaksa digunakan bagi memudahkannya mengesot untuk bergerak memandangkan kakinya sudah patah lebih 20 kali sekali gus menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Sungguhpun begitu, dalam keadaan fizikal yang membataskan mobiliti, kedua-dua beradik ini menjadikan kerusi roda sebagai peneman setia ketika berada di luar rumah untuk ke sekolah bagi meneruskan rutin harian mereka.

NURUL FATIHAH terpaksa mengesot bagi membolehkannya bergerak. 

Tidak seperti rakan-rakan lain yang gemar bergaul sesama rakan sebaya lain, sebaliknya berlaku kepada Fatihah mungkin kerana kekurangan yang ada pada dirinya.

Patah kaki

Situasi yang berbeza dapat dilihat pada Mohd. Syafiq yang mengalami patah kaki kanan kerana dia agak aktif walaupun dengan pergerakan yang terbatas.

"Kali terakhir kaki saya patah ialah pada pertengahan tahun 2009 ketika bermain.
"Saya kemudiannya dirawat selama seminggu di hospital dan tidak ke sekolah selama dua bulan," ujarnya.

Fatihah yang kini terpaksa bergantung dengan kerusi roda kali terakhir mengalami nasib yang sama kira-kira empat tahun lalu. Namun nasibnya tidak sebaik Mohd. Syafiq kerana kedua-dua kaki Fatihah patah menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Penyakit yang diwarisi daripada bapa mereka, Hashim Omar, 54 turut dialami oleh salah seorang abang mereka, Asrul, 22. Namun, lima lagi adik-beradik yang lain bernasib baik kerana mereka bebas daripada penyakit tersebut.

"Kini, Asrul sedang mengikuti kursus jahitan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tabah dengan dugaan ini, Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq saling menjaga satu sama lain apabila seringkali dilihat bersama di sekitar rumah mereka di Perkampungan Orang Kelainan Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang.

"Sudah banyak ikhtiar dilakukan untuk mengubati penyakit anak-anak saya, namun doktor memberitahu penyakit mereka tidak boleh diubati.

MOHD. SYAFIQ (kiri) dan Nurul Fatihah merenung masa depan mereka yang penuh dengan ketidaktentuan. 

"Saya juga hairan kenapa saya dan anak-anak terkena penyakit ini sedangkan ahli keluarga saya termasuk datuk dan saudara-mara lain tidak mengalaminya," kata Hashim.

Sungguhpun begitu, Hashim menerima keadaan tersebut sebagai ujian daripada Allah. Menurutnya, tidak ada apa yang perlu dikesali mereka walaupun tidak sempurna.

"Saya bersyukur dengan keadaan ini kerana yakin ada hikmah di sebaliknya. Saya juga bernasib baik kerana isteri, Nurzaimah Husin, 47, tetap setia bersama-sama menghadapi dugaan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Syafiq sangat positif meskipun sedar dengan kekurangan yang ada pada dirinya.
"Saya ada ramai kawan dan mereka sudi bermain dan bantu saya," katanya.

19 comments:

  1. Ujian Allah..semoga mereka tabah....

    ReplyDelete
  2. Masya-Allah besarnya ujian yg perlu ditempuhi mereka. Sayu dan pilu melihat... moga ada ketabahan...

    ReplyDelete
  3. sadisnya baca kisah keluarga ni....

    ReplyDelete
  4. sayu bila membaca kisah mereka..semuga mereka terus tabah menghadapi ujian dr Allah..

    ReplyDelete
  5. rara tak sanggup bila nk tgk org susah cm ni.sedih sgt.

    akk thanks doakan rara dpt baby =)

    ReplyDelete
  6. yg msk tv tempohari kn? sian depa...cm ne la ms dpn diorg nnt

    ReplyDelete
  7. Saya pernah dengar ttg penyakit ni. Sangat simpati, dahlah susah, sakit pulak. Tapi Allah ada sebab tersendiri utk menguji hambaNya ini. Untuk menguji kita juga, mungkin.

    ReplyDelete
  8. Masya-Allah. Ujian dr Allah datang dlm pelbagai bentuk utk menguji keimanan hambanya.. moga mereka tabah.

    ReplyDelete
  9. Ujian ALLAH dtg dalam pelbagai bentuk..Derita di sini,bahagia menanti di sana kelak...


    meh la join kuiz...

    ReplyDelete
  10. sedey nyer baca
    setiap dugaan pasti ada hikmah nyer
    moga derita di dunia tapi bahagia di akhirat kelak

    ReplyDelete
  11. Mmg sayu baca kisah mereka ni..semoga mereka tabah mnhadapi hari2 mndatang..

    ReplyDelete
  12. Ya Allah.. kesiannya sy tgk dorg ni. rasa sayu je hati.. kita yg lgkap serba serbi ni patut bersyukur dgn apa yg kita ada...

    mg Tuhan tabahkan hati mereka untuk hadapi semua dugaan ni...

    p/s : kak ros jgn sedih2.. sy nak je kwn dgn kak ros.. sy dah ltk link blog akak dkt bloglist sy.. blhlah nanti sy slalu terjah :-)

    ReplyDelete
  13. eB xleh tgk gini, eB mengigau teringat2. hu3

    ReplyDelete
  14. k.ros, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. semoga mereka tabah...

    ReplyDelete
  15. mudah2an ada jalan dan ikhtiar untuk menatasi masalah mereka....dengan isin Allah.

    ReplyDelete
  16. macam2 penderitaan orang lain jika dibandingkan dengan kita yang lebih bernasib baik..semoga mereka terus tabah.

    ReplyDelete
  17. Assalamualaikum.

    Rawan hati membaca berita ini. Semoga mereka dikurniakan ketabahan yang meninggi serta anugerah yang lebih baik atas kesabaran menempuh ujian ini. Nyata, mereka insan yang disayang Allah.

    Salam ukhuwwah.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails