Sahabat adalah perisai diri

Thursday, March 22, 2012

Bersedia hadapi cabaran mendatang

Salam,
Bagi yang berjaya tu,tahniah lah dari Kak Ros...dan bagi yang tak berjaya ,janganlah dok putus asa pulak..tak semestinya kita gagal sekali,kita akan gagal selamanya kan...Umur masih muda,peluang pun masih ada....jangan dok sia2kan teruslah berjuang demi masa depan kita kelak.......

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my




BELAJAR SEMULA...belajar dan mengambil peperiksaan ulangan juga satu alternatif sedia ada.

MINGGU ini debaran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu pasti terungkai, sekali gus bakal menentukan perjalanan masa depan sama ada memperoleh keputusan cemerlang atau sebaliknya.

Pelajar yang mencapai keputusan cemerlang sudah tentu bercita-cita melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sementara bagi keputusan sederhana pula mencari institusi setara kelayakan.


KEMAHIRAN...pasaran luas industri berasaskan kemahiran membuka peluang pelajar membina kerjaya dengan mudah selain menikmati pulangan lumayan.

BOLEH CEBURI...bekerja sendiri dengan menjadi usahawan juga boleh dilakukan.

PELBAGAI...akses pendidikan mudah dan pelbagai memberi peluang sama rata kepada pelajar untuk membuat pilihan diingini.

SENGIT...peluang pekerjaan yang semakin sengit menjadikan pelajar perlu bijak memilih kursus ingin diikuti.

Bagi yang gagal juga masih boleh merangka perancangan sama ada mahu memasuki institusi berbentuk latihan mahu pun melangkah ke alam pekerjaan.

Biar apapun keputusannya, pastikan ia tepat dan bersesuaian dengan kehendak diri supaya tidak menyesal hingga memusnahkan masa depan yang baru bermula.

Pilihan apakah yang boleh dilakukan bagi memastikan setiap keputusan tidak sia-sia, sebaliknya menjamin kehidupan lebih sempurna?

Ketua Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Kamaliah Abu berkata, banyak pilihan yang boleh dibuat berdasarkan keputusan diperoleh.

Menurutnya, cemerlang atau tidak, pelajar seharusnya terus memandang ke depan dan bersedia merangka pelbagai perancangan.

“Sebaik saja memperoleh keputusan, bersikap optimis dan segera merancang langkah seterusnya bagi memulakan penghijrahan kehidupan baru.

“Berjaya atau tidak bukan persoalan kerana setiap pelajar mempunyai peluang dan pilihan sama tara untuk membina masa depan. Mungkin caranya saja berbeza.

“Paling penting, pemilihan peluang perlu tepat supaya dapat membantu pelajar membina masa depan lebih baik,” katanya.

Setiap pilihan perlu diberi pertimbangan wajar dengan menekankan segala aspek kemungkinan walaupun pelajar membuat keputusan sama ada ingin melanjutkan pengajian, menceburi bidang kerjaya atau menduduki semula peperiksaan.

Keputusan yang diambil juga mestilah selari dengan hasrat pelajar dan bukan disebabkan paksaan bagi mengelakkan masalah pada masa depan.

“Pelajar perlu tahu kehendak sebenar diri sendiri. Pilih pilihan yang benar-benar diingini supaya tidak menyesal atau menimbulkan masalah.

“Pertimbangan perlu dibuat secara rela dan bukan paksaan demi kebaikan bersama. Jangan buat keputusan terburu-buru atau mengikut kehendak orang lain.

“Buatlah keputusan bijak biar pun keputusan itu ada kalanya tidak menggembirakan orang lain,” katanya.

SPM diiktiraf sebagai penanda aras pencapaian akademik bagi menentukan hala tuju masa depan pelajar.

Mengakui SPM boleh membawa pelbagai definisi, beliau mengharapkan pelajar melihat konsep pendidikan dengan lebih terbuka di samping peluang yang sentiasa terbentang luas.

Menurutnya, bagi yang berjaya, boleh meneruskan hasrat melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi pilihan dalam pelbagai peringkat seperti matrikulasi, diploma atau ijazah.

Sementara yang gagal atau kurang berjaya pula masih boleh memilih institusi berasaskan kemahiran yang juga banyak menawarkan program berprestasi tinggi di pasaran.

“Hari ini, negara mempunyai banyak institusi yang mampu membuka peluang melanjutkan pengajian dengan rangkaian menyeluruh sama ada awam atau swasta juga tempatan dan antarabangsa.

“Ada pelbagai pilihan boleh dilakukan termasuk berdasarkan minat dan cita-cita yang boleh memenuhi keinginan pelajar. Pilih saja dan tentukan hala tuju masa depan yang diingini.

“Justeru, tidak timbul isu tidak berpeluang melanjutkan pelajaran disebabkan faktor seperti tidak layak atau tidak pandai,” katanya.

Biar apa pun pilihan itu, penting pelajar komited melaksanakannya dan menanam kukuh keinginan untuk lebih berjaya selain positif setiap pilihan adalah yang terbaik.

“Sememangnya pilihan itu disediakan bagi membantu mengikut keperluan semasa dan individu. Pilihan yang betul boleh memberi banyak kelebihan.

“Jangan terpengaruh atau susah hati dengan tanggapan negatif sedia ada. Setiap individu ada cara masing-masing untuk memacu dan membina kejayaan,” katanya.

Antara pilihan adalah melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi, diploma, persediaan ke luar negara, politeknik, institusi pendidikan guru, tingkatan enam, kemahiran khusus dengan syarikat perkapalan atau penerbangan, akademi, keusahawanan atau melangkah ke alam pekerjaan.

Pelajar yang ingin melanjutkan pengajian peringkat matrikulasi, umpamanya perlu mempunyai persediaan mental dan fizikal kuat bagi melalui tempoh pengajian singkat sementara diploma pula bagi tujuan pasaran kerjaya atau melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda.

“Setiap pilihan ada pro dan kontra. Jika memilih matrikulasi, pelajar perlu sentiasa cemerlang sementara diploma pula mempersiapkan mereka untuk meneroka pasaran kerjaya atau menyambung pengajian.

“Semuanya ada cabaran tersendiri yang memerlukan usaha gigih untuk menikmati kejayaan,” katanya menolak tanggapan pandangan pelajar gagal atau kurang cemerlang tiada masa depan.

“Tidak berjaya dalam akademik bukan bermakna kegagalan sepenuhnya dalam hidup. Bidang kemahiran masih ada dan semakin mendapat perhatian luar biasa industri.

“Banyak institusi menawarkan program latihan berbentuk kemahiran dengan kemudahan sokongan kewangan. Pelajar boleh menggunakan platfom ini untuk mempertingkatkan kemahiran diri.

“Mungkin tidak gah seperti belajar di universiti namun penghasilannya juga lumayan. Tidak perlu berputus asa atau kecewa kerana tidak dapat memasuki universiti, sebaliknya realistik menghadapi situasi,” katanya.

Pelajar yang memilih institusi kemahiran disaran mengikuti program teknologi maklumat, pendawaian, automotif, perkhidmatan dan keusahawanan kerana prospek masa depan cerah.

“Pasaran kerjaya bidang ini cukup luas kerana tidak ramai mempunyai kemahiran aspek teknikal. Ini juga satu jaminan kerjaya biarpun tanpa kelulusan tinggi dan tidak rugi mengikutinya,” katanya.

Pelajar yang mahu melanjutkan pengajian juga perlu bijak memilih kursus bagi mengelakkan digelar penganggur terhormat kelak.

“Jangan pilih kursus yang tidak diminati atau kurang permintaan majikan. Sebaiknya ikuti perkembangan semasa industri supaya selalu mendapat maklumat terkini.

“Bagaimanapun, antara faktor pelajar menganggur kerana sikap memilih pekerjaan selain paksaan belajar kursus tidak disukai.

“Justeru, cuba dapatkan maklumat menyeluruh mengenai program dan bandingkan sama ada ia memenuhi kriteria minat atau sebaliknya,” katanya.

Pelajar juga boleh menduduki semula peperiksaan bagi memperbaiki keputusan atau bekerja bagi mencari pengalaman.

“Dunia semakin maju, bidang kerjaya juga sudah meluas dan mencabar. Sama ada akademik atau kemahiran, setiap satu mempunyai kelebihan masing-masing.

“Sentiasa optimis mengharungi kehidupan, itulah sebenarnya resipi kejayaan hidup,” katanya.


17 comments:

  1. adik saya dpt 2A je. ok la tu. risau ko sangkut je.

    ReplyDelete
  2. sya dulu SPM 1A je.. tp Alhamdulillah berkat usaha yg berterusan kini sya punya kerjaya yg baik dan kukuh...

    'gagal dulu x bermakna selamanya kita gagal.. gagal dulu adalah pendorong utk kita lebh berjaya akan datang....

    ReplyDelete
  3. plajar kna bhati2 mmilih kursus, jgn paksa diri ambil kursus yg t. dsukai.

    pljr yg lmah dlm bdg akademik better pilih kursus bbntuk kmahirn

    ReplyDelete
  4. Kakak dulu boleh katakan cemerlang dalam SPM dan dapatlah melanjutkan belajar lebih tinggi sikit...

    Tapi percayalah kejayaan kita dlm pelajaran bukan penentu kejayaan masa depan juga. Kakak belajar bagai nak rak tetap jadi kuli juga sampai kini.

    Kawan kakak SPM kantoi pun sekarang dapat duduk rumah banglo, drive BMW sebab bersuami businessman kaya-raya...

    ReplyDelete
  5. Salam Ros,

    Tahniah pada yang berjaya dengan cemerlang dalam SPM.

    Pada yang kurang sikit keputusannya, jangan putus asa, sekarang ni banyak cabang dan ruang untuk berjaya.

    ReplyDelete
  6. wah..sis ros ckp mcm cikgu plak...hee..tp btui la...sy skrg msh blajar jugak..sambil bekerja..utk mencari segulung ijazah

    ReplyDelete
  7. kalo tak berjaya dalam spm, tak bermakna gagal sepenuhnya.. perjalanan masih panjang.. kalo ada kemahuan belajar, teruskan sebab peluang belajar ada di mana2..

    ReplyDelete
  8. mula dari diploma pon tak apa.. at least belajar pelan2 smp degree.. nnt nk keja x jd cam mangsa2 degree takde diploma neh.. huhuhu~

    ReplyDelete
  9. yg penting kemahuan kak. kata pepatah, dia mana ada ke mahuan d situ ada jln...
    SPM = gerbang permulaan sblm menghadapi hala tuju hidup yg lbh mencabar

    ReplyDelete
  10. gagal SPM x bererti dunia sudah hancur kehidupan sudah musnah masih ada jalan..ruang serta peluang untuk mencari hala tuju hidup sekiranya betul2 serius memikirkan tentang kehidupan

    ReplyDelete
  11. bagi calon2 spm 2011... perjalanan kerjaya baru bermula... butlah pilihan yang terbaik...

    ReplyDelete
  12. ini bukan pengakhiran kejayaan kan...berusaha lg pad yg berkeputusan kurang cemerlang..

    ReplyDelete
  13. betol2.. still bole cuba lg kat u nnti kan.. hehe :)

    ReplyDelete
  14. teruskan perjuangan menimba ilmu walau di mana jua.... tak kira la SPM dapat berapa tapi semangat belajar perlu diteruskan....

    ReplyDelete
  15. adik saya failed stu paper BI..takper la kan..

    ReplyDelete
  16. tahniah kpd yg berjaya....kpda yg kurang berjaya..bnyak pilihan skrng ni...tapi biarlah pilihan tu betul2 menepati....

    ReplyDelete
  17. tahniah paday g berjaya..sekarang memang byk pilihan tapi kena berhati-hati..jangan salah buat pilihan,nanti merana hidup..:)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails