Sahabat adalah perisai diri

Wednesday, March 21, 2012

KANTA LEKAP:RISIKO JANGKITAN DAN KEBUTAAN

Salam,
Banyak orang suka pakai KANTA lekap ni...ada yang pakai pasai rabun dan ada yang pakai untuk nampak cantik...Kita nak pakai apa pun mesti lah kena tau cara2 dan penjagaannya betoi...Kualitinya dan kebersihannya pun amat penting supaya mata kita selamat daripada perkara2 yang tak diingini....

Inilah jadinya kalau kita pandang ringan dan tak ambik tau pasai KANTA lekap yang kita pakai .....


Kanta lekap adalah kanta yang dipakai terus pada mata bagi memperbetulkan kecacatan refraksi.
Terdapat tiga jenis kanta lekap iaitu keras, separa keras dan lembut. Bagi kanta lekap
keras dan separa keras, ia dipisahkan oleh satu lapisan cecair air mata. Kanta lekap
lembut, ia hampir bersentuhan atau melekap pada lapisan epitelium kornea mata.

KEGUNAAN KANTA LEKAP


1. Menggantikan cermin mata bagi memperbaiki kecacatan dan meningkatkan ketajaman mata.

2. Perlindung untuk beberapa jenis penyakit kornea.

3. Memberi keselesaan kepada pemakai. Bayangkan seorang ahli sukan seperti pemain bola sepak yang terpaksa menggunakan kaca mata. Sukar, bukan?

4. Untuk tampil bergaya. Penggunaan kanta lekap berwarna untuk yang bermata normal adalah satu trend sekarang dan sekadar `berseronok-seronok'.

RISIKO KANTA LEKAP


Kanta lekap berperanan besar dalam membantu memperbaiki penglihatan. Pemakai kanta lekap ini bagaimanapun terdedah kepada pelbagai risiko tersendiri jika penggunaannya tidak dibuat dengan cara yang betul.

Pada dasarnya, kanta lekap adalah menempelkan benda asing kepada mata. Dengan demikian, ia berpotensi mengganggu keseimbangan mata terutamanya jika tidak dibersih mahu pun ditanggalkan sebagaimana waktu yang telah ditentukan.

1- IRITASI

Risiko utama adalah iritasi (kegatalan). Iritasi disebabkan oleh jangkitan mata dan boleh mengakibatkan kebutaan. Oleh itu tangan harus dicuci bersih semasa memasang kanta lekap agar tiada bakteria dapat masuk sewaktu pemakaian.

Kebanyakkan jangkitan mata berpunca daripada perawatan dan pemeliharaan kanta lekap yang tidak sempurna. Ia juga boleh berpunca daripada tempat penyimpanan kanta lekap yang tidak dibersihkan dan menjadi tempat pembiakkan bakteria. Pemakai kanta lekap perlu memastikan aspek kebersihan mata dan tangan dan tempat penyimpanannya benar-benar terjaga.

2 - PENGURANGAN OKSIGEN

Mata memerlukan oksigen. Pada waktu tidur, kadar oksigen pada mata berkurangan sehingga 1/3 dari ketika mata dalam keadaan berjaga pada waktu siang.

Pemakaian kanta lekap pada waktu tidur akan menyebabkan pengurangan oksigen yang ketara dan boleh mengakibatkan lapisan permukaan mata mudah mengalami pembengkakan terutama pada waktu pagi. Pemakai kanta lekap dengan itu disaran menanggalkan kanta sebelum masuk tidur.

3 - MATA MERAH

Kanta lekap boleh menyebabkan lapisan mata mudah tergores dan teriritasi. Tanda awal ialah mata menjadi merah.

Pemakai kanta lekap disaran menanggalkan kanta apabila mata nampak merah. Jika tidak ditanggalkan, mata berpotensi dijangkiti kuman. Jika kuman kebetulan dari jenis yang sangat berjangkit, permukaan selaput mata boleh bertukar putih dalam masa 24 jam.

KOMPLIKASI PEMAKAIAN KANTA LEKAP

1 SUPERFICIAL PUNCTATE KERATITIS (SPK)

Permukaan kornea mata menjadi rosak biasanya disebabkan oleh pemakaian yang kanta yang terlalu ketat sehingga menyebabkan mata kekurangan oksigen (hypoxia), alergi, atau keracunan.

Gejala: Pemakai merasa tidak selesa, menjadi sangat sensitif pada cahaya (photophobia), dan hadirnya bintik-bintik di kornea mata.

Rawatan: Mengurangi atau menghentikan pemakaian kanta lekap.

2 ALAHAN

Radang atau iritasi terjadi kerana mata dimasuki bahan-bahan pembawa alahan seperti debu, serbuk atau makanan ke dalam mata.

Gejala: Rasa gatal, mata menjadi merah dan kelopak mata membengkak. Umumnya, alahan terjadi secara bermusim dan pemakai memang mempunyai sejarah alahan.

Rawatan:
Hindari penyebab alahan. Hilangkan bengkak di mata dengan kompresi air dingin. Mengambil ubat antiradang apabila terjadi keradangan dan alahan boleh diredakan dengan ubat alahan, antihistamines.

3 KERATOCONJUNCTIVITIS SICCA / SINDROM MATA KERING

Timbulnya bintik (keratitis) kronik pada kornea bawah. Komplikasi ini disebabkan oleh perembesan air mata pemakai yang tidak mencukupi.

Gejala: Mata rasa seperti terbakar, air mata sering keluar dan cairan di mata berlebihan.

Rawatan: Suplemen air mata atau menggantikan kanta. Sekiranya tidak berhasil, hentikan pemakaiannya.

4 KORNEAL EDEMA
Cairan dalam kornea menjadi berlebihan sehingga menimbulkan stres pada kornea, biasanya disebabkan oleh mata kekurangan oksigen.

Gejala: Photophobia, penglihatan menjadi kelam, mata merah dan tidak selesa semasa kanta lekap ditanggalkan. Pembuluh darah kelihatan lebih jelas dan timbul superficial punctate keratitis.

Rawatan: Menambah oksigen pada mata. Kurangkan atau menghentikan pemakaian kanta lekap.

5 INFILTRATES

Keradangan pada jaringan mata disebabkan oleh kanta lekap yang kurang bersih, oksigen yang kurang, tindak balas alahan hingga menimbulkan jangkitan.

Gejala: Biasanya, ia kelihatan seperti sekelompok sel berwarna putih. Penglihatan berkurang, mata merah, photophobia dan timbul bintik putih di mata.

Rawatan: Komplikasi ini diatasi dengan menghindari pemakaian kanta lekap, kerap menggantikan kanta lekap, mengambil antibiotik/steroid dan memberikan penekanan terhadap cara pembersihan kanta lekap.

6 JANGKITAN

Jangkitan terjadi akibat kontaminasi organisme berbahaya ke dalam mata seperti bakteria, kulat, protozoa dan virus.

Gejala:
Mata menjadi merah, kelopak mata melekap, air mata meleleh, kurang penglihatan dan bintik pada kornea.

Rawatan: Menjaram dengan air dingin, menggunakan air mata buatan, dan terapi antibiotik, jika perlu.

7 MICROBIAL KERATITIS

Microbial keratitis terjadi apabila organisme berbahaya seperti bakteria, kulat, protozoa dan virus masuk ke dalam kornea mata hingga mengakibatkan pembengkakkan.

Gejala: Sakit pada mata, photophobia, air mata berlebihan, mata merah, dan penglihatan berkurang. Jika sudah parah, mata mengeluarkan nanah.

Rawatan: Terapi antibiotik, penggantian kanta lekap.

8 VASKULARISASI KORNEA

Vaskularisasi kornea adalah pembentukan pembuluh darah dalam jaringan avaskular (kornea). Seringkali disebabkan oleh kekurangan oksigen oleh pemakaian kanta lekap yang terlampau ketat.

Gejala:
Kurang penglihatan serta timbul pembuluh darah di kornea.

Rawatan: Kurangkan pemakaian kanta lekap atau menggantikannya dengan kanta lensa yang menyokong oksigen sepenuhnya.

9 GIANT PAPILLARY CONJUNCTIVITIS (GPC)

GPC adalah keradangan papilari pada kelopak atas mata. Penyebabnya masih belum diketahui hingga kini walau ada yang mengaitkannya dengan pemakaian kanta yang berpanjangan.

Gejala: Gatal-gatal, penglihatan berkurang, kanta lebih banyak bergerak-gerak, tidak boleh memakai kanta biasa dan kelopak mata membengkak.

Rawatan: Kurangkan pemakaian kanta, menjaram air dingin, berjumpa doktor mata dengan segera.

Justeru, pencegahan dari timbulnya komplikasi akibat pemakaian kanta lekap adalah jauh lebih baik daripada mengubati.

Setiap individu yang memakai kanta lekap berpotensi mengalami komplikasi-komplikasi yang disenaraikan sekiranya penjagaan kanta lekap dipandang remeh.

Oleh itu, kekerapan membersihkan kanta lekap serta jangka masa pemakaiannya sebagaimana yang disarankan perlulah dititikberatkan bagi mengelak sebarang kemungkinan. Sayangilah mata anda….

TIPS MEMBERSIH KANTA LEKAP

1. Cuci tangan bersih-bersih dan keringkannya terlebih dahulu sebelum menyentuh kanta lekap.

2. Gantikan kanta lekap sebaik mata mulai berasa tidak selesa kerana ia menjadi petanda kanta sudah berada dalam keadaan yang tidak baik untuk membantu penglihatan

3. Jangan sembarangan memakai larutan pembersih kerana produk pembersih yang tidak tepat dapat membahayakan mata

4.
Sewaktu membersih kanta lekap, gosok dengan hati-hati. Letakkan kanta di telapak tangan anda dan usap secara perlahan-lahan

5.
Simpan kanta lekap di tempat penyimpanan khusus yang sedia mengandungi agen pembasmi kuman atau disinfektan

6. Jangan biarkan mulut botol pembersih tersentuh sebarang permukaan lain atau dibiarkan terbuka untuk menghindari pencemaran.



13 comments:

  1. serius.. saya dah tinggalkan zaman konteks lens ni sbb tak tahan selalu kena sakit mata... walaupun saya pakai x sampai pun sebulan .. so saya dah tutup buku ngan lens ni .. beh baik pakai spek mata lagi selamat

    ReplyDelete
  2. tak pernah pakai contact lens... serius, tak suka sebab tak rajin nak uruskan segala remeh-temehnya dan sedia maklum kesannya kalau tak cermat, tak bersih...risikonya tinggi!

    ReplyDelete
  3. ngeri pulak tengok...

    akak tak berani nak pakai walaupun sebenarnya ada juga keinginan hehe

    ReplyDelete
  4. saya mmg takut pakai contact lense.. bior le org nak ckp pakai spek x cantik pon.. saya tetap berpegang teguh dgn spek saya..hehehe

    ReplyDelete
  5. ramai kawan2 sy yang nak pakai contact lens sebab boleh tukar kaler mata,tapi lepas beberapa minggu,dah xpakai da sebab leceh...hehe

    ReplyDelete
  6. kwn2 sy rajin pakai CL ni..tp syukur la depa tau cm ne nk jg

    ReplyDelete
  7. tak pandai pakai & takut nak pakai

    ReplyDelete
  8. kalau pakai memang perlu berhati-hati..kalau nak beli pon kena beli yg bagus punya...pantang larang contact lens kena sentiasa jaga...cenggitulah nasib si peng-contact lens..hehehehe

    ReplyDelete
  9. bagus info ni...sy mmg pakai contact lense..kdg2 sakit mata jgk dibuatnya :p

    ReplyDelete
  10. bagus info ni...sy mmg pakai contact lense..kdg2 sakit mata jgk dibuatnya :p

    ReplyDelete
  11. Saya dah 10 tahun pkai contact lense, alhamdulillah tiada perkara yang tidak diingini.. yang paling penting memang kebersihan..

    ReplyDelete

  12. Info yang berguna mengenai cara-cara membersihkan kanta lekap atau kanta sentuh. Bila seseorang itu memakai kanta sentuh, dia juga harus tahu mengenai risiko yang boleh berlaku sekiranya teknik penjagaan kanta sentuh tidak diamalkan dengan betul. Selain itu, sebaik-baiknya kita membeli kanta sentuh dan pencuci kanta sentuh yang berkualiti bagi memastikan mata kita tidak mengalami sebarang alahan terhadap kanta sentuh.

    ReplyDelete
  13. Saya about 3 years pakai contact lens ni. Mata gatal gatal, merah & kuning. Buruk sangat. Saya stop pakai. Biar buruk asal tak buta. Menyusahkan orang nanti. But, saya sarankan kepada teenagers yang nak pakai or dah pakai tu, lebih elok stoplah. Bahaya sangat.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails