Sahabat adalah perisai diri

Thursday, December 27, 2012

Teruknya Bencana Alam Di Pantai Timur..(Video)..

Assalamualaikum,
Teruknya bencana alam yang berlaku kat pantai timur ni....banyak harta benda yang rosak...harap tu tak berlaku kemalangan jiwa...semoga semuanya cepat berakhir dan semoga Allah melindungi mangsa2 kat sana..








Ensan myMetro...

Wednesday, December 26, 2012

Betoi2 Menyentuh Jiwa...Ustaz Don..(Video)..

Assalamualaikum,
Sayuuu.. ja bila Kak Ros dengar ceramah Ustaz Don ni...Memang betoi sangat laaa..apa yang dia cakapkan tu..,tak banyak anak2 yang menguruskan sendiri jenazah ibu baba depa...Mai kita dengar sampai habis ceramah Ustaz Don ni..buat pedoman untuk kita semua.....

Friday, December 21, 2012

Motivasi Diri...

Assalamualaikum,
Semoga sihat2 lah semuanya ya.....hari ni Kak Ros nak kongsikan dengan semua saudara2 Kak Ros sikit mutiara kata dan ayat-ayat motivasi yang mungkin mampu untuk bantu menaikkan semangat kita hari ni untuk berkerja,menghadapi dan mengharungi hidup kita seharian...

Ehsan Google he.he...
Ayat Motivasi dan Mutiara Kata

1.Semiskin-miskin orang ialah orang yang kekurangan adab dan budi pekerti – Hukama

2.Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan. – Peribahasa Arab

3.Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.

4.Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia. – Richard Brinsley Sheridan

5..Kamu dapat mengenal lebih banyak tentang diri seseorang itu dari adab dan pertanyaannya, bukan dari jawapan-jawapannya. – Voltaire

6.Setiap orang dapat mencapai kejayaan dalam hal apa saja, asalkan ia sangat menyukai pekerjaan yang dilakukan.

7.Lebih baik tidur dengan perut yang lapar daripada bangun tidur dengan banyak hutang.

8.Jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaannya, kerana engkau dipandang manusia bukan kerana rupa tetapi kesempurnaan budi dan adab.

9.Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji…

10.Barangsiapa menyebarluaskan berita-berita kekejian yang didengarnya, maka dia seperti pelakunya.

11.Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal.

12.Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah – Ali imran : 159

13.Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal,tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah.

14.Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.


Thursday, December 20, 2012

Petua Nak Halau Lipas...

Assalamualaikum,
Hari ni kak Ros nak berkongsi satu petua dengan semua saudara kak Ros...Semoga semuanya sihat2 belaka hari ni.... Kak Ros dapat petua ni pun dari saudara kak Ros jugak....nak tau petua untuk apa? haaa...mai tengok dan baca kat sini....

Petua macam mana nak halau lipas.

Dalam rumah kak Ros ni semuanya geli dengan lipas ni. Kalau terjumpak ja lipas mesti riuh rendah satu rumah...lipas ni bukannya geli ja,dia juga kotor dan boleh membawa penyakit.selalunya kita nak halau lipas kita gunakan penyembur lipas yang ada banyak kat pasaraya tu ja kan...., tapi dia hilang sekejap ja pas tu ada balik.... Kalau ada sapa2 yang ada masaalah camni boleh lah cuba petua ni.




1. Ambil hujung timun atau pangkalnya dan letakkan di tempat yang ada banyak lipas.

2. Ambil beberapa biji buah pelaga dan letakkan di tempat lipas membiak.

3 Kalau terlalu banyak sangat, sediakan ubi kentang yang di rebus dan lecek selepas itu campur dengan serbuk penaik dan gaul.gentel gentel letakkan di tempat yang ada lipas.

Cuba la, sebab kak Ros dah cuba... Alhamdulillah... menjadi gak la setakat nih... Eee... tengok gambaq pun dah meremang bulu roma... nggeee...

Wednesday, December 19, 2012

Panduan Menjaga Bayi Meragam....

Assalamualaikum,
Anak ni adalah anugerah Allah yang paling berharga dan tak ternilai buat hamba2nya nak dibandingkan dengan semua benda kat atas muka bumi ni.....Kita patut banyak2 bersyukur bukannya merungut kan...
Ya...tak nafikan lah memang susah nak jaga anak2 kecik ni apatah lagi masa depa tengah dok meragam...sebab tu lah Allah mengajar kita supaya banyak bersabar..supaya kita boleh hadapi dan atasi benda2 yang macam ni lah dan tak akan berlakunya penderaan...bila kita bersabar barulah kita boleh berpikir apa yang patut kita buat bila dalam situasi yang macam ni...

Kat bawah ni ada sikit panduan macam mana nak atasi anak2 yang meragam ni...mai kita baca untuk panduan dan pengetahuan diri...

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


MENANGIS atau meragam sudah menjadi sifat semula jadi bayi yang normal. Kita tidak boleh mengharapkan anak yang sentiasa ceria dan tidak membuatkan ibu bapa pening menangani pelbagai kerenah mereka.

Menangis juga satu cara bayi berkomunikasi dengan penjaga kerana mereka masih tidak pandai meluahkan perasaan dengan kata-kata.

Menjaga bayi menuntut kesabaran yang tinggi kerana jika tidak, ibu bapa boleh hilang sabar dan ada yang bagaikan hilang kewarasan diri sehingga sanggup mendera anak sendiri.

Dengan pelbagai tekanan dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi setiap hari, kerenah anak yang menangis atau meragam apatah lagi pada malam hari memang boleh menyebabkan ibu bapa hilang sabar.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita tidak sepatutnya melepaskan kemarahan atau segala beban seharian terhadap anak kecil yang tidak berdosa dan mengerti apa-apa. Sebaliknya kita harus belajar untuk menjadi ibu bapa terbaik sekali gus memahami keadaan si kecil yang sering meragam itu.

Buat ibu bapa dan penjaga, teknik menangani bayi yang meragam dan sering menangis ini boleh dijadikan panduan:

1. Bersikap tenang

Perkara terbaik yang boleh dilakukan ibu bapa apabila anak meragam atau menangis dengan nyaring ialah bersikap tenang dan bukannya memarahi anak dengan suara yang tinggi.

Apabila tekanan dalam diri ibu bapa meningkat, anak juga akan menjadi bertambah tertekan, menyebabkan usaha menenangkan bayi tidak akan tercapai.

2. Periksa lampin bayi


Bayi menangis kerana pelbagai sebab, antaranya mereka tidak selesa apabila lampin sudah terlalu penuh atau mereka baru saja membuang air besar.

Jadi, apabila anak menangis, cuba periksa lampin untuk pastikan masalah anak mena–ngis bukan berpunca daripada lampin. Sekiranya basah lencun atau kotor, salin lampin supaya bayi lebih selesa.

3. Periksa suhu badan bayi

Kadangkala bayi menangis apabila dia berasa terlalu sejuk atau terlalu panas.
Mungkin ibu bapa boleh memegang tangan atau kaki anak untuk memastikannya.

Sekiranya sejuk, pakaikan baju yang menutup tubuh dan lebih tebal. Namun sekiranya panas, cuba gunakan termometer bagi memeriksa suhu bayi.

4. Kembung perut

Bayi selalu mengalami masalah kembung perut. Oleh itu, ibu bapa perlu memeriksa dengan menepuk lembut dengan jari bagi memastikan anak mereka mengalami masalah kembung perut. Sekiranya benar, sapukan minyak angin pada perut bayi untuk melegakan perutnya.

5. Beri susu atau makanan bayi

Sekiranya semua perkara di atas tiada pada bayi, kemungkinan besar dia lapar.
Tawarkan minuman atau makanan pada bayi. Ibu bapa perlu mempunyai jadual dan mengingati masa makan atau minum anak mereka.

Jangan ambil mudah kerana selain senang meragam akibat lapar, tumbesaran bayi juga boleh terjejas jika tidak mendapat zat mencukupi.

6. Bayi mengantuk

Bayi juga akan meragam dan menangis jika mengantuk. Selalunya mereka hanya
mahu didodoi oleh ibu atau bapa dan sebaik dipeluk, mereka menjadi tenang dan tidur dengan mudah.

Pelukan daripada ibu bapa bukan saja dapat menenangkan bayi, malah ia mampu menyalurkan kasih sayang yang sangat diperlukan oleh bayi untuk membesar dengan sempurna.

7. Mahu bermanja

Adakalanya bayi hanya mahu didukung, dipeluk, dilayan atau diberi perhatian penuh oleh ibunya. Bayi sememangnya manja dan mahu dibelai ibu.

Banyak kajian menunjukkan belaian daripada ibu bapa dapat meningkatkan sistem pertahanan bayi, membantu menstabilkan emosi, membantu selera bayi dan menjadikan anak mereka lebih ceria.

8. Alih perhatian bayi

Apabila anak menangis atau meragam tanpa dikenal pasti puncanya, antara kaedah yang boleh digunakan ialah mengalihkan perhatiannya.

Ada kemungkinan bayi itu bosan justeru, ibu bapa boleh menghiburkan bayi mereka. Lakukan perkara yang boleh membuat bayi ketawa seperti membuat aksi melucukan atau membawanya keluar bersiar-siar melihat sekeliling selain berbual-bual dengan bayi supaya mereka rasa disayangi.

9. Ubah cara dukung


Sesetengah bayi mempunyai posisi dukung yang digemarinya. Jika anak sukakan posisi tegak di bahu, jangan baringkan dia ketika mendukungnya kerana bayi pasti akan menangis.

Apabila menegak, bayi boleh melihat keadaan sekelilingnya dengan lebih baik seolah-olah berjalan dan ia penting bagi proses pembelajarannya.

10. Hiburkan bayi

Biarpun nyanyian anda sebenarnya sumbang namun bagi bayi anda, andalah penyanyi terhebat. Oleh itu, gunakan kesempatan ini untuk menyanyikan pelbagai lagu lembut kepadanya terutama lagu yang mempunyai unsur pendidikan kerana anak akan mengikut nyanyian sambil belajar dan pada masa sama, dia akan tenang dan berhenti menangis.

11. Menari bersama bayi

Ini antara teknik yang boleh dilakukan sekiranya ia dapat membuatkan anak anda
tersenyum serta membuatkannya berhenti menangis. Ajak anak menari dengan gaya yang disukai kanak-kanak seperti tepuk tangan, supaya mereka terhibur tetapi pada masa sama, berasa rapat dengan anda.

12. Tukar pakaian bayi

Ada fabrik yang kasar pada kulit bayi hingga menimbulkan rasa tidak selesa dan
akhirnya bayi menangis. Oleh itu, tukar pakaiannya kepada yang lebih selesa dan pastikan pakaian bayi diperbuat daripada fabrik lembut dan tidak panas seperti kain kapas.

13. Mandikan bayi

Bayi yang meragam sepanjang hari mungkin berasa tidak selesa atau ruam akibat lampin. Mandikan bayi dengan sabun yang mengeluarkan bau menenangkan dan sapukan tubuhnya dengan losen atau minyak mineral yang menghindarkan masalah ruam.

14. Urut bayi


Mengurut antara cara untuk menenangkan bayi. Sentuhan kulit ke kulit bukan saja menenangkan bayi tetapi hubungan ibu bapa dengan anak juga menjadi semakin rapat.

15. Kurangkan rangsangan sekeliling

Terlalu banyak rangsangan di sekeliling boleh membuatkan bayi terganggu, seterusnya menangis dan meragam. Bagi menenangkan bayi, cuba malapkan cahaya lampu, asingkan permainan yang banyak dan mengurangkan bunyi bising.

16. Bedung bayi

Bagi bayi kecil, mereka berasa tenang dan selamat apabila dibedung dengan kain dan dipeluk ibu bapa. Ini kerana bagi si kecil ini, keadaan yang terbuka menakutkan mereka. Oleh itu, sebaik-baiknya bedung bayi kecil, bukan saja mereka akan berasa hangat, ia juga membantu bayi tidur dengan lebih nyenyak.

17. Gunakan bunyi menenangkan

Ada sesetengah bunyi mampu menenangkan bayi apabila ia berbunyi terus-terusan contohnya bunyi kipas berputar atau bunyi kerincing angin yang digantung di tempat berangin.

18. Beredar dan menenangkan diri

Sekiranya semua cara yang dilakukan tidak mampu menenangkan bayi dan anda mula hilang sabar, tinggalkan sekejap bayi anda di tempat yang selamat dan tenangkan diri terlebih dulu.

Berfikir positif dan memahami bayi anda tidak melakukannya dengan sengaja kerana dia tidak memahami apa-apa dan masih kecil.

19. Bawa bayi bertemu doktor

Anda juga boleh membawa bayi bertemu doktor kanak-kanak bagi membuat pemeriksaan untuk memastikan tangisan bayi bukan berpunca daripada masalah kesihatan yang serius.


Tuesday, December 18, 2012

Pokok Besar Menghempap Rumah...

Assalamualaikum,
Tudia aihhh...besarnya pokok yang menghempap dapur rumah Nahatul Shima ni...Kesian...dah la susah nak menaggung anak2 yang ramai...kini rumah depa pulak musnah.
Tak pa lah..bersabarlah banyak2,ini semuanya dugaan dan ujian dari Allah,mungkin ada hikmah disebalik apa yang terjadi.
Syukur pada Allah semua anak2nya selamat...Semoga Allah melindungi keluarga Nahatul Shima..Semoga lepas ni depa akan mendapat kehidupan yang lebih baik...

NAHATUL SHIMA (kanan) melihat pokok besar yang menghempap rumahnya di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal terpaksa menerima hakikat apabila sebahagian besar daripada rumahnya runtuh dihempap sebatang pokok jati di Kampung Wakaf Mek Zainab di sini petang kelmarin.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika hujan renyai-renyai yang menyebabkan pokok itu menghempap rumah berkenaan sehingga merosakkan keseluruhan dapur.

Lebih menyedihkan, ibu tunggal berkenaan, Nahatul Shima Seman, 43, hilang punca pendapatan apabila segala peralatan untuk membuat kuih yang terletak di dapur rumahnya itu turut tidak dapat diselamatkan.

Nahatul Shima berkata, semasa kejadian, dia tidak ada di rumah kerana keluar untuk membeli barang untuk membuat kuih di kedai runcit berhampiran rumahnya.

Menurutnya, kejadian tersebut diketahuinya selepas mendapat panggilan daripada anak keempatnya, Nur Izzatul Farisya Zaidi, 11, yang memaklumkan rumah mereka telah dihempap pokok.

"Terkejut dengan perkhabaran itu saya terus bergegas pulang untuk melihat sendiri apa yang telah berlaku. Sampai di rumah saya dapati seluruh dapur rumah telah musnah.

"Walaupun dapur rumah saya musnah namun saya tetap bersyukur kerana semua anak-anak saya selamat kerana semasa kejadian, mereka semua berada di rumah ibu saya yang terletak berhampiran," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sumber

Monday, December 17, 2012

Tangkap Ikan Dapat Buaya...

Assalamualaikum,
Ishhh...bahayanya,mujurlah buaya tu tak mengganas..


SARATOK: Sangkaan seorang nelayan dia menangkap ikan besar ketika menarik jaring dipasang di Sungai Krian, di sini, kelmarin meleset sebaliknya dikejutkan dengan kelibat seekor buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter.

Zipni Jali, 42, berkata, ketika menarik jaringnya dengan dibantu anaknya, Faizal, 18, dia terasa sesuatu yang berat tersangkut pada peralatan menangkap ikan itu.

Katanya, pada mulanya dia menyangka ikan besar tersangkut pada jaring, namun terkejut apabila melihat seekor buaya katak terjerat dalam jaring berkenaan. “Saya amat terkejut kerana sepanjang umur hidup ini pertama kali buaya terjerat dalam jaring yang saya pasang,” katanya ketika ditemui.

Menurut Zipni, Sungai Krian menjadi lubuk buaya terutama di sekitar Tanjung Kelimah namun setakat ini belum ada kes serangan ke atas penduduk dilaporkan.

Ketika ditanya apa yang dilakukan kepada buaya itu, Zipni berkata, buaya yang masih hidup itu dilepaskan sejurus jaring yang tersangkut pada mulut buaya itu dilucutkan.

“Saya tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan dan saya tidak membunuhnya kerana saya percaya reptilia ini bersifat pendendam,” katanya.

Saturday, December 15, 2012

Warga Mas Sakit Terbiar Keseorangan.....

Assalamualaikum,
Pilu sedih bila mengenangkan nasib mak cik ni kan.....dah la berumur,duduk sorang sakit pulak tu..hidup yang serba kekurangan dan semuanya tak terurus belaka....Dah berapa lama laaaaa....dia duduk dalam keadaan yang macam tu kan...
Syukur alhamdulillah......la ni dia dah ditempatkan ditempat yang lebih baik dan ada orang yang menjaga makan minum dan sakitnya tu..

Oleh Arifin salleh
am@hmetro.com.my

TERBIAR...warga emas terlantar sendirian di rumahnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan, kelmarin.

ALOR GAJAH: Memilukan apabila seorang wanita warga emas bukan saja terlantar bersendirian di ruang tamu rumahnya di Kampung Pulau Sebang di sini, malah bergelumang dengan najisnya sendiri berikutan keuzuran dialaminya tanpa mendapat pembelaan anak tunggalnya yang didakwa menghilangkan diri.

Lebih malang apabila permohonan Sabi Dollah berusia 85 tahun itu untuk tinggal di rumah kebajikan tidak mendapat pertimbangan sewajarnya.

Sumber berkata, warga emas itu terlantar beralaskan sekeping tilam nipis di atas lantai ruang tamu rumahnya yang tidak terurus.

“Dia (wanita itu) tinggal sendirian dengan keadaan kesihatannya yang lemah selain mengalami masalah penglihatan dan pendengaran. Dia hanya mampu mengharap simpati jiran terdekat memberinya makan minum selain menyediakan keperluan lain.

“Difahamkan, dia mempunyai seorang anak tunggal perempuan namun menghilangkan diri tanpa menjenguk keadaannya selama lebih lima tahun tanpa khabar berita,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, sejak terlantar sakit, warga emas itu hanya mampu mengharapkan perhatian dan ihsan jiran terdekat yang sering datang membawa makanan dan minuman.

“Beberapa jiran terdekat yang bersimpati menjenguk dan menyuapnya makanan tanpa bekalan air bersih yang dipotong disebabkan tunggakan bil lebih RM1,500.

“Lebih menyayat hati warga emas ini terpaksa membuang air kecil dan air besar di atas tempat tidurnya setiap hari hingga menyebabkan rumah busuk,” katanya.

Kata sumber itu, keperitan hidup ditanggung warga emas itu mendapat perhatian pihak berkaitan yang akan mendapatkan tempat tinggal dan memastikan kebajikannya terpelihara.

“Namun, tiada maklum balas diterima dan lebih mengecewakan apabila syarat yang perlu dipatuhi seperti pemeriksaan kesihatan turut dibuat,” katanya.

Melihat keadaan diri warga emas itu yang menghidap sakit pundi kencing dan darah tinggi, beberapa penduduk menghubungi bantuan kecemasan untuk dihantar ke Hospital Alor Gajah (HAG), petang kelmarin.

“Paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah yang dipanggil kemudian membawa warga emas berkenaan ke HAG sebelum dirujuk ke Hospital Melaka (HM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM daerah, Saiful Nazmi Said berkata, keadaan wanita berkenaan amat menyedihkan kerana bergelumang dengan najis.

Thursday, December 13, 2012

Tanam Sayur Zaman Sekarang...(Video)

Assalamualaikum,
Tengok lah ladang sayur dalam rumah hijau ni,segar2 dan subur2 belaka kan...baja apa la yang depa guna ya he.he..
Senang sungguh Kak Ros tengok depa buat kerja ni,lepas kutip terus ja packing...zaman dah canggih,semua kerja la ni dah banyak kemudahannya dah kan...

Kredit buat video nih...

Nak tau maklumat lebih lanjut mai masuk sini..(kat gambar).. berminat nak daftar,ada link kat atas ni...jangan dok risau daftar free ja.....

Persediaan Beijing Untuk Hadapi Hari Kiamat...

Assalamualaikum,
Macam2 pemikiran setiap manusia bebilang bangsa dan berbagai agama ni kan....
Bagi kita semua umat islam, manalah kita boleh percaya dengan benda2 lagu ni semua....Kiamat ni manalah kita boleh tau bila ianya nak terjadi kan..Macammana bencananya pun kita tak boleh nak bayangkan....ni semuanya adalah kuasa Allah SWT hanya Dia saja yang mengetahuinya.....
Kalau dah dinamakan kiamat tu... satu benda apa pun kat atas dunia ni tak akan selamat dah..,akan musnah dan hancur semuanya....


BOLA GERGASI...Liu membina ‘Bahtera Noh’ dilengkapi pelbagai keperluan.

BEIJING: Berdasarkan kalendar Mayan, kiamat akan berlaku 10 hari lagi.

Berikutan itu, sesetengah pihak yang percaya kepada ramalan itu cuba mencari jalan untuk menghadapi bencana berkenaan. Seorang petani di China percaya, dia mampu menghadapi sebarang malapetaka selepas membina tujuh ‘bola gergasi’ yang mampu menyelamatkannya dalam keadaan darurat. Liu Qiyuan menyiapkan alat itu yang digelar ‘Bahtera Noh’ menggunakan gentian kaca selepas mendapat ilham daripada filem Hollywood, 2012.

Kata Liu, dia membina Bahtera Noh itu di halaman rumahnya di Qiantun, Hebei menggunakan rangka besi.

“Alat ini boleh dijadikan tempat berlindung ketika berlaku bencana alam seperti tsunami atau taufan,” katanya.

Liu mencipta Kapal Noh itu supaya boleh terapung di atas air serta dilengkapi pendayung. Turut dipasang, pelbagai bentuk tangki oksigen, tali keledar serta ruang yang mencukupi untuk 14 orang.

Kata Liu, Kapal Noh itu dibina dengan teliti supaya kedudukannya stabil ketika terapung di atas air. “Saya harap ciptaan ini dipelajari pihak yang berkenaan, termasuk jabatan kerajaan serta pertubuhan antarabangsa supaya boleh digunakan ketika sesuatu tempat dilanda tsunami atau gempa bumi,” katanya. Walaupun boleh terapung, ciptaan Liu itu agak berat dan empat lelaki dewasa diperlukan untuk menggerakkannya.

Awal tahun ini, seorang ahli perniagaan China, Yang Zongfu mendedahkan alat keselamatannya bagi menghadapi bencana alam bernilai hampir RM740,000.

Menurut Yang, alat bulat berwarna oren itu mempunyai ‘simpanan dan penyambung hidup’ mencukupi untuk satu keluarga tiga orang selama 10 bulan. - DM


Tuesday, December 11, 2012

Gebu Gebu nya.......

Assalamualaikum,
Comelnya kucing2 ni...geram Kak Ros tengok...








Kredi buat semua foto ni..

Monday, December 10, 2012

Penyatuan Dua Hati....

Assalamulaikum,
Tahniah la buat Betty dan pasangannya Bruce kerana dah selamat diijabkabul kan....
Semoga jodoh depa berpanjangan hingga kehujung nyawa....

PERTAMA kali bersua, Betty sudah dapat merasakan Bruce merupakan lelaki yang ditunggu-tunggu selama ini untuk bergelar suaminya.

SEBELUM melayari bahtera perkahwinannya pelakon dan penyanyi berdarah kacukan Melayu-Arab, Betty Banafe pernah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan umum.

Dia antara lain meluahkan hasrat untuk membatalkan pernikahannya dengan jejaka Inggeris-Lebanon, Bruce Darghous yang ketika itu hanya tinggal kurang sebulan daripada tarikh perkahwinannya itu.

Puncanya cuma satu iaitu perbezaan budaya antara mereka berdua.

Namun begitu menurut wanita bermata galak itu, sebelum mengikat tali pertunangan, hari-hari yang dilalui mereka cukup sempurna. Bagaimanapun selepas itu, ada sahaja yang tidak kena.

"Ya, kami berdua amat tertekan ketika itu kerana masing-masing berselisih faham mengenai majlis pernikahan kami. Namun, itu cerita dahulu, tetapi Alhamdullillah, pada hari yang perkahwinan saya ini, hati kami bersatu menjadi satu.

"Saya percaya segala yang berlaku ada hikmah dan kemelut itu saya sifatkan sebagai satu momen untuk kami saling kenal-mengenali dengan lebih rapat lagi," luahnya.

Pada Sabtu 6 Disember lalu, Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 33, mengikat tali perkahwinannya dengan Darghous, 31, di rumah keluarganya di Kempas Baru, Johor.

Dengan mas kahwin berupa sebentuk cincin dan gelang emas, pasangan secocok itu selamat diijabkabulkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Johor, Ahmad Faisal Mohamed tepat pukul 2.30 petang.

Hanya dengan sekali lafaz, perunding teknologi di salah sebuah syarikat komunikasi maklumat di ibu kota Kuala Lumpur itu sah bergelar suami kepada pelakon filem Buai Laju-Laju dan Haru-Biru itu.

Selain ahli keluarga dan sanak saudara Betty, hadir sama menyaksikan penyatuan dua jiwa itu ialah keluarga mempelai lelaki yang terdiri daripada ibu bapanya, Nabil Darghous dan Linda Darghous serta adik perempuannya.

TEGAS dan berdisiplin merupakan antara ciri diri Bruce yang berjaya memikat hati Betty.

Pada majlis yang bertemakan konsep Arab sepenuhnya itu, mempelai bertukar-tukar hantaran iaitu tujuh dulang daripada Darghous yang merangkumi sehelai telekung, set wangian Nina Richi dan Ralph Lauren, Apple TV, telefon pintar Samsung S111, komputer riba Apple serta sirih junjung.

Sementara Betty membalas lapan dulang hantaran iaitu set wangian Dolce & Gabbana, set mandian, al-Quran digital, sejadah, buah-buahan, kek dan sirih junjung.

Bagaimanapun ketika ditanya jumlah wang hantaran perkahwinan, Betty dan keluarga lebih senang untuk merahsiakannya.

Cinta unik

Ternyata kisah percintaan antara Betty dan Darghous cukup menarik untuk disingkap.

Cerita Betty yang anggun mengenakan busana rekaan pereka dari Singapura dan menerima sentuhan mekap daripada Rina Delina, pada malam pertama mereka dipertemukan, hatinya sudah terdetik bahawa lelaki berbadan tegap dan berkepala botak itu ialah 'Mr. Rightnya'.

"Saya masih teringat lagi bibit-bibit pertemuan kami berdua. Ketika itu iaitu pada 5 November tahun lalu, sejurus selepas tamat Anugerah Industri Muzik (AIM), kami diperkenalkan oleh rakan masing-masing.

"Pertuturan antara kami bersahaja tetapi setelah beberapa jam bersembang, saya melihat arwah bapa saya, ada dalam diri dia. Darghous seorang yang berterus terang juga kelakar dan ciri-ciri itulah yang ada pada bapa saya," imbasnya yang mengaku dirinya sangat rapat dengan arwah bapanya, Abu Bakar Banafe.

PASANGAN yang baru melayari bahtera perkahwinan ini merancang untuk memiliki sekurang-kurangnya tiga orang anak.

Kasih antara mereka semakin bertaut apabila karakter Bruce yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu kelihatan nyata tegas, cukup berdisiplin, berterus terang dan menepati masa.

"Selain itu, kepakaran Bruce dalam menggunakan teknologi juga begitu mengagumkan saya dan lebih menjadikan hubungan kami tambah istimewa kerana kami meminati muzik yang sama iaitu irama Arab," katanya tertawa manja.

Tambah Betty: "Ya, sememangnya jodoh itu merupakan kuasa Allah Yang Maha Esa dan tiada manusia dapat menyangkalnya."

Ujar Betty, meskipun mengakui dirinya sukar untuk kembali bercinta dan terlalu berhati-hati dalam soal jodoh, akhirnya, pintu hatinya berjaya diketuk oleh si jejaka bernama Bruce Darghous ini.

"Bruce memberitahu saya secara romantis betapa dirinya mencintai saya dan merasa serasi untuk mengharungi onak dan duri bersama-sama.

"Waktu itu, saya masih berfikir lagi tetapi keyakinan saya terhadapnya semakin bercambah apabila dia sanggup melamar saya di depan ahli keluarga saya pada 14 Jun lalu iaitu semasa hari jadi ahli keluarga saya," luahnya.

Sumber

Saturday, December 8, 2012

Kopi Najis Gajah Pulak Dah...

Assalamualaikum,
Macam2 lah selera manusia ni kan....suka makan benda yang pelik2..dulu Kak Ros dengar kopi dari najis musang,ni dari najis gajah pulak dah....ishhhh kembang tengkuk Kak Ros bila dok teringat macam mana kopi ni diproses..

ISTERI seorang pengembala gajah mengambil biji kopi daripada najis haiwan itu.

BANGKOK - Kira-kira 20 ekor gajah mengeluarkan najis yang mengandungi biji kopi di sebuah pusat pemuliharaan haiwan itu di wilayah Chiang Rai, utara Thailand.

Gajah-gajah itu diberikan makan biji kopi yang kemudian dikeluarkan bersama najis haiwan tersebut.

Biji kopi itu dijual pada harga AS$1,100 (RM3,361) bagi setiap satu kilogram (kg) yang merupakan antara yang termahal di dunia.

Kopi yang dihasilkan daripada najis haiwan itu dikenali sebagai Black Ivory.

Beberapa hotel mewah di dunia menawarkan minuman tersebut kepada para pelanggan pada bulan lalu yang bermula di utara Thailand diikuti Maldives dan kini Emiriyah Arab Bersatu.

Harga untuk secawan kopi itu ialah AS$50 (RM152.77).

"Apabila seekor gajah memakan biji kopi, perut haiwan itu menguraikan protein yang terdapat pada kopi yang menjadi punca utama ia menjadi pahit," kata Blake Dinkin yang membelanjakan AS$300,000 (RM916,649) untuk memajukan penghasilan kopi tersebut.

Sebelum mengemukakan cadangan kepada Yayasan Gajah Segi Tiga Emas yang mengendalikan pusat pemuliharaan itu, Dinkin menyatakan dia bekerjasama dengan seorang pakar haiwan yang berpangkalan di Kanada untuk melakukan ujian darah di beberapa zoo gajah.

Ujian itu menunjukkan gajah-gajah berkenaan tidak menyerap sebarang bahan kafeina kerana memakan biji kopi.

Menurutnya, gajah memakan 33kg biji kopi untuk menghasilkan 1kg kopi Black Ivory.

"Rasa kopi itu menakjubkan," kata isteri seorang warga Amerika Syarikat, Asleigh Nelson di sebuah hotel.

Sebelum ini, Indonesia turut terkenal dengan kopi luwak yang dihasilkan menerusi najis musang.- Agensi

Sumber

Nak tau maklumat lebih lanjut mai masuk sini..(kat gambar).. berminat nak daftar,ada link kat atas ni...jangan dok risau daftar free ja.....

Bersabung Nyawa nak Dapatkan Madu Lebah....

Assalamualaikum,
Ni lah rupanya macam mana susah payahnya orang nak dapatkan madu lebah dari rimba Tualang..
Pokoknya sungguh tinggi..amat bahaya dan menakutkan dengan lebah yang banyak dan besar2 pulak tu...memang berani lah depa ni kan...



Kredit buat Video dan tuan punya Video nih...

Nak tau maklumat lebih lanjut mai masuk sini..(kat gambar).. berminat nak daftar,ada link kat atas ni...jangan dok risau daftar free ja.....

Friday, December 7, 2012

Laluan Bahaya....

Assalamualaikum,
Ishhhh....bahaya sungguh nih...harap2 tu dapatlah dibaiki segera sebelum ada berlakunya benda2 yang tak diingini...sebabnya itulah satu2nya laluan utama bagi orang2 kat situ kan....

Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my

BAHAYA... Beberapa kanak-kanak bermain di kerangka besi di kawasan bekas jambatan pejalan kaki dan motosikal di Gombak semalam.

GOMBAK - Ribuan penduduk di sekitar Kampung Nakhoda dan Kampung Wira Damai di sini terpaksa menanggung risiko menyeberangi Sungai Gombak menggunakan kerangka besi setiap hari untuk menjalankan urusan seharian.

Kerangka besi itu pada asalnya jambatan kecil untuk laluan motosikal dan pejalan kaki tetapi hanya tinggal rangkanya sahaja selepas dihanyutkan oleh air sungai semasa banjir kilat yang berlaku akibat hujan lebat pada minggu lepas.

Bagaimanapun, ia masih digunakan oleh penduduk untuk menyeberang kerana ia menjadi laluan utama penduduk kedua-dua kampung selain jalan pintas penduduk ke perhentian bas ke berhampiran.

Wakil peniaga Gerai Majlis Perbandaran Selayang di Wira Damai, Tuan Jawawi Tuan Sulaiman, 48, berkata, ribuan penduduk menggunakan laluan tersebut setiap hari untuk pelbagai tujuan tetapi kini berdepan dengan bahaya.

"Orang ramai masih mengambil risiko guna bekas jambatan ini kerana ia jalan alternatif terletak lebih satu kilometer dan ia menyukarkan orang ramai terutama pejalan kaki," katanya di sini semalam.

Sumber

Nak tau maklumat lebih lanjut mai masuk sini..(kat gambar).. berminat nak daftar,ada link kat atas ni...jangan dok risau daftar free ja.....

Thursday, December 6, 2012

Sekadar Renungan... Semoga Bermanfaat..

Assalamualaikum,
Sekadar renungan buat kita semua kaum hawa nih he.he......

Selalunya lah....orang lelaki ni..bila depa nak cari isteri..,depa amat suka dan mudah tertarik dengan perempuan yang bersikap keibuan,lemah lembut,mengambil berat dan jugak penuh dengan kasih sayang....Sikap2 macam ni lah yang mampu membuatkan diri depa merasa tenteram dan tenang ketika depa sedang menghadapi gelisah,cemas dan jugak tertekan...
Mai kita baca kat bawah ni sikap2 yang patut ada dekat wanita dan yang menjadi idaman setiap orang lelaki...


Keanak-anakkan
Dalam batas yg wajar, sifat keanak-anakan seorang wanita menjadi daya tarikan di mata lelaki. Mereka berasa terhibur dengan keletah anda. tetapi tentulah bukan sifat keanak-anakkan yg melampau dan menyakitkan hati tetapi sikap keanak-anakan yg menyenangkan. Misalnya, kemanjaan wanita yg membangkitkan naluri kebapaan dan kelakian lelaki. Wanita ceria membuat lelaki lebih berghairah.

Penuh Pengertian
Sikap pengertian wanita membuat lelaki berasa dihargai dan diterima seadanya. Sikap ini tercermin dari perasaan mudah memaafkan, memilih waktu yg tepat utk berbincang masalah dan sebagainya. Contohnya ketika lelaki melakukan kesilapan, wanita yg berpengertian tidak terus mengeluarkan kata2 yg kasar atau menuduh bukan2 sebaliknya cuba mengerti duduk persoalannya.

Menghargai
Wanita yg menghargai lelaki adalah wanita idaman lelaki. Lelaki suka dihargai,dipuji dgn tulus ikhlas dan diberi kepercayaan. Penghargaan dari wanita membuat lelaki berasa bangga.

Menjaga Penampilan
Lelaki menyukai wanita yg pandai menjaga penampilannya agar sentiasa kelihatan cantik, bersih, kemas dan menarik. Penampilan yg baik menunjukkan wanita tersebut menghargai dirinya. Dia akan murah senyuman, pandai merawat tubuhnya, meningkatkan kualiti hidupnya dan memberi yg terbaik kepada dirinya. Dia suka dan bersyukur dengan dirinya dan secara tidak langsung memancarkan pesona yg menyebabkan lelaki juga menyukainya. Apabila sudah berumahtangga, wanita tersebut terus menjaga penampilan dirinya dan kesihatan tubuh badan walau sudah beranak-pinak. Siapa yg tidak suka isteri yg masih kelihatan cantik dan ramping walau dah punya anak 3??

Pandai berbicara
Lelaki tertarik dgn wanita yg pandai berkomunikasi dan boleh diajak berbual. Walau topik perbualan yg disukai lelaki berbeza dgn topik kegemaran wanita,wanita tersebut dapat mengimbanginya. Dia bukan sekadar teman berbual yg pasif, tetapi dapat memberi respon dan pendapat yg baik. Dia juga tahu menjadi pendengar yg baik, serta mengalihkan topik yg agak serius kepada perbualan yg lebih menarik. Lelaki juga suka dengan wanita yg suka bergurau dan pandai berjenaka serta boleh menerima jenaka lelaki dgn baik dan berfikiran terbuka.

Pandai Bergaul dan Menyesuaikan Diri

Wanita yg pandai bergaul dan menyesuaikan diri mempunyai nilai lebih di mata lelaki. Wanita tersebut tahu menghadapi orang yg lebih tua dan cara berhadapan dgn orang yg lebih muda. Apabila berhadapan dgn suasana yg baru,wanita tersebut tidak gentar malah cepat menyesuaikan diri. Dia mudah di ajak ke mana saja dan tidak kekok samada di bandar atau di kampung.

Menghormati Diri Sendiri

Lelaki suka dgn wanita yg menghormati dirinya sendiri sebagai seorang wanita bersikap sopan dan mempunyai etika. Wanita yg menghormati dirinya sendiri mempunyai keyakinan dan tahu apa yg baik dan buruk diperlakukan oleh seorang lelaki terhadap dirinya. Jadi dia tahu apa yg dia inginkan dan mahu elakkan serta menjaga maruah dirinya. Dia tidak akan merendah-rendahkan dirinya dan tidak akan membiarkan lelaki memperlakukan dirinya sesuka hati.

Simpati dan prihatin
Lelaki suka wanita yg murah hati, mengambil berat, simpati pada nasib yg susah, sayangkan kanak-kanak dan tidak memilih bulu. Kebaikan yg wajar dan spontan mencerminkan hati yg mulia. Ada kecantikan dalaman pada dirinya yg memancar keluar dgn indah dan mempesona.


Nak tau maklumat lebih lanjut mai masuk sini..(kat gambar).. berminat nak daftar,ada link kat atas ni...jangan dok risau daftar free ja.....

Monday, December 3, 2012

Parah Kena Tembakan...

Assalamualaikum,
Kalau betoi lah apa yang Kak Ros baca ni...memang tak berbaloi langsung lah kan..bukannya dia buat salah apa pun..hanya kerana cuba pi meleraikan pergaduhan orang ja dia dapat 4 das tembakan....ishhhh.....macam tak dak undang2 langsung kan,senang2 dan ikut suka2 depa ja nak cederakan orang...dah lebih kurang macam orang2 israel dah ni...tembak orang ikut suka hati depa ja....
Semoga Wek Shu ni cepat sembuh....

WEK SHU yang parah menerima rawatan di Hospital Pakar Johor semalam.

JOHOR BAHRU - Berpantang maut sebelum ajal.
Itu yang berlaku kepada seorang juruwang di sebuah kafe siber, Lew Wek Shu, 37, yang terselamat walaupun terkena empat das tembakan ketika cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan lelaki di Jalan Johar 4, Taman Desa Cemerlang di sini kelmarin.

Menceritakan semula kejadian pukul 10.15 malam itu, Wek Shu berkata, ketika itu dia yang sedang bekerja telah mendengar satu pertengkaran di tepi jalan berdekatan dengan premis tempatnya bekerja.

Tidak tahan mendengar pertengkaran tersebut yang berlarutan hampir setengah jam, dia memberanikan diri untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.

Bagaimanapun, niat baik lelaki tersebut tidak disenangi apabila dia dimarahi dan dihamburkan dengan kata-kata yang tidak sedap didengar.

"Disebabkan tak mahu panjangkan cerita, saya terus beredar dan tanpa saya sangka salah seorang ahli kumpulan itu melepaskan tembakan dan terkena di bahagian belakang badan saya.

"Seingat saya, selepas itu beberapa das tembakan dilepaskan lagi dan entah dari mana kekuatan saya dapat, saya berlari dan sempat duduk di kerusi.

"Ketika itu, saya lihat badan saya mula berlumuran darah dan anggota badan saya mula rasa sangat sakit sebelum saya jatuh pengsan," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Johor (HPJ) di sini semalam.

Empat tembakan terkena bahu kanan dan kiri, dada selain di bahagian belakang badan Wek Shu sementara lengannya mengalami sedikit kecederaan.

Sumber

Nak tau maklumat lebih lanjut mai masuk sini..(kat gambar).. berminat nak daftar,ada link kat atas ni...jangan dok risau daftar free ja.....

Related Posts with Thumbnails